BANGI: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menyalurkan RM860,000 kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menjayakan Kempen Kesihatan Persekitaran KPKT sepanjang tahun ini.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, peruntukan itu adalah bagi menjayakan enam kempen yang melibatkan 156 PBT iaitu Premis Makanan Bersih, Pasar Awam Bersih serta Tandas Awam PBT Bersih, Menawan dan Wangi (BMW).
Katanya, kempen itu turut melibatkan Kempen Membasmi Infestasi Tikus, Pengurusan Haiwan Terbiar dan juga Cegah Wabak Denggi.
“Ini merupakan tanggungjawab dan kewajipan seluruh masyarakat. Menerusi kempen ini, usaha meningkatkan kesedaran rakyat dilakukan sejak di bangku sekolah hingga ke akhir hayat, agar rakyat Malaysia memiliki minda kelas pertama.
“Apabila negara mencapai status berpendapatan tinggi menjelang 2030, rakyat juga perlu seiring dengan pemikiran kelas pertama dan ini satu proses yang perlu digerakkan bersama.
“Sehubungan itu, KPKT telah mengambil peranan utama memastikan kawasan persekitaran sentiasa bersih,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia (SHKPS) Peringkat KPKT tahun 2025 di sini, hari ini.
SHKPS hari ini turut memberi pengiktirafan kepada PBT yang mencapai kecemerlangan melalui pelaksanaan kempen-kempen kesihatan persekitaran KPKT Tahun 2025 dan PBT Cemerlang Penarafan Bintang Audit Teknikal (PBAT) Program Kesihatan Persekitaran Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) bagi Tahun 2025.
Selain itu, Kor Ming berkata, kempen-kempen tersebut merupakan pelaksanaan dan penjajaran program serta komitmen negara terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Katanya, fokus utama adalah kepada SDG 3 (kesihatan baik dan kesejahteraan), SDG 6 (air bersih dan sanitasi) serta SDG 11 (kemampanan bandar dan komuniti).
“Inisiatif ini bukan sekadar kempen semata-mata, sebaliknya satu usaha pembudayaan standard operasi piawai yang berpaksikan garis panduan sedia ada serta penguatkuasaan beretika.
“Usaha tersebut turut disokong oleh penyertaan komuniti setempat dan inovasi teknologi melalui aplikasi aduan digital PBTCare serta aplikasi Penarafan Bintang Tandas Awam (PBTa) bagi tandas BMW,” katanya. – UTUSAN










