Kota Setar dilanda banjir, limpahan air dari tiga daerah lain

Kota Setar dilanda banjir, limpahan air dari tiga daerah lain

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad (dua dari kanan) memantau lokasi terjejas banjir di Alor Setar. - IHSAN IPD KOTA SETAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kota Setar mencatatkan seramai 225 mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Aman setakat pukul 8 pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah memaklumkan, PPS berkenaan mula dibuka pada pukul 9.30 malam tadi selepas banyak rumah di 11 kampung dalam mukim Anak Bukit, di sini dinaiki air.

Antara kampung yang terjejas adalah Kampung Alor Gunung; Simpang Tiga Kepala Batas; Kampung Belakang Dewan Persekutuan; Kampung Bohor; Kampung Seberang Istana dan Kampung Seberang Chegar.

“Lima lagi adalah Kampung Alor Senjaya, Kampung Suka Menanti, Kampung Seberang Alor, Kampung Pekan Dalam dan Kampung Seberang Pantai Johor,” katanya.

Semalam, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Mohd. Bukhori Mat Sidik berkata, tiga mukim di Kota Setar berisiko dilanda banjir ekoran trend peningkatan Sungai Kedah sejak beberapa hari lepas dipercayai limpahan air sungai dari Sik, Baling dan Pendang.

Sementara itu, jumlah keseluruhan mangsa banjir di negeri ini menurun kepada 1,281 mangsa daripada 372 keluarga susulan penutupan kira-kira 10 PPS sehingga semalam.

Jumlah mangsa tertinggi masih di Kulim iaitu seramai 554 orang diikuti Pendang 330 orang, Kota Setar 225 orang, Pokok Sena 136 orang, Kubang Pasu 23 orang dan Padang Terap 13 orang.

Tiga sungai yang mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya pula adalah Sungai Titi Kerbau di Kubur Panjang, Pendang; Sungai Pendang di Pekan Pendang dan Sungai Padang Terap di Kepala Batas, Kubang Pasu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN