KLSCM 2025 catat penyertaan tertinggi

KLSCM 2025 catat penyertaan tertinggi

Progam larian Kuala Lumpur Standard Charterd Marathon (KLSCM), di sekitar Ibu Kota, semalam. UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Edisi ke-17 Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2025 mencatatkan penyertaan tertinggi dalam sejarah penganjurannya iaitu 42,000 peserta mengambil bahagian termasuk 3,300 peserta antarabangsa dari 53 negara.

Pengarah Projek KLSCM, Rainer Biemans, berkata, acara tersebut turut mencipta sejarah tersendiri apabila secara rasmi menerima pengiktirafan sebagai World Athletics Elite Label Race, menjadikannya satu-satunya acara larian di Malaysia yang dianugerahkan status berprestij tersebut.

Katanya, penganjuran tahun ini turut menyaksikan sambutan luar biasa daripada komuniti pelari, dengan ribuan peserta membanjiri pusat bandar Kuala Lumpur untuk berlari di laluan ikonik yang bermula di Jalan Raja Laut dan berakhir di Stadium Merdeka.

“Sambutan yang diterima membuktikan kedudukan KLSCM sebagai acara larian bertaraf antarabangsa yang dinanti-nantikan setiap tahun.

“Status World Athletics Elite Label ini mengangkat nama Malaysia di mata dunia dan membuktikan keupayaan kita menganjurkan acara bertaraf global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Pelbagai kategori diadakan dalam KLSCM 2025 antaranya termasuk maraton, separuh maraton ASICS, 10 kilometer (km), 5km Fun Run dan Kids Dash.

Acara ini dianjurkan oleh Dirigo Events dengan sokongan pelbagai pihak termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Belia dan Sukan serta badan sukan antarabangsa.

Dalam pada itu, Yeow Ni Jia dan Michelle Chua Khit Yeng muncul sebagai pelari Malaysia terpantas dalam kategori masing-masing pada acara Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2025 yang berlangsung di Stadium Merdeka, di sini hari ini.

Dalam kategori Terbuka Lelaki Malaysia, Nia Jia menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 2 jam 36 minit 13 saat, menewaskan Tan Huong Leong yang menamatkan saingan di tempat kedua dengan masa 2:37:05, manakala juara edisi 2024 dan pemenang dua pingat gangsa Sukan SEA, Muhaizar Mohamad, di tempat ketiga dengan catatan 2:44:37.

Sementara itu, Michelle Chua kembali mendominasi saingan kategori Wanita Malaysia apabila merampas semula gelaran juara dengan catatan 3 jam 5 minit 40 saat, menewaskan juara bertahan Noor Amelia Musa (3’09:03), manakala Lee Siok Chin di tempat ketiga dengan masa 3’11:07.

Sementara itu, pelari Kenya terus menunjukkan dominasi mereka dalam acara maraton antarabangsa apabila menyapu bersih kedudukan podium dalam kategori Terbuka Lelaki Antarabangsa pada edisi tahun ini.

John Nzau Mwangangi muncul juara dengan catatan 2 jam 17 minit 28 saat, diikuti Kiprotich Kirui (2’17:45s) di tempat kedua dan juara bertahan, Vincent Kiprono (2’18:06s) di tempat ketiga.

Dalam kategori Terbuka Wanita Antarabangsa, pelari Kenya turut cemerlang apabila Truphena Chepchirchir meraih tempat pertama dengan masa 2 jam 41 minit 36 saat, mengatasi wakil Ethiopia, Almaz Negede Fekade (2:41:50), dan rakan senegara, Joyline Chemutai (2:42:34).

Sebagai juara kategori masing-masing, Yeow Ni Jia dan Michelle Chua Khit Yeng membawa pulang pingat kejuaraan serta wang tunai RM20,000 setiap seorang.

Manakala Mwangangi dan Chepchirchir selaku juara antarabangsa turut menerima pingat kejuaraan serta wang tunai sebanyak AS$15,000 (kira-kira RM63,090) setiap seorang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN