KUALA LUMPUR: Kekuatan sebenar ASEAN selama hampir enam dekad penubuhannya terletak pada keupayaan untuk belajar, berkembang dan menyesuaikan diri dalam menghadapi pelbagai krisis global yang menggugat kestabilan rantau ini.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, kebolehan ASEAN menyesuaikan diri termasuk selepas krisis kewangan Asia 1997-1999 di mana Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menjunam, harga aset dan mata wang runtuh serta pengangguran dan kemiskinan melonjak.
Titah baginda, tindak balas terhadap krisis itu membolehkan ASEAN mengharungi kejutan global berikutnya dengan lebih baik termasuk krisis kewangan global 2007, pandemik Covid-19 yang menyebabkan kemelesetan ekonomi mendadak, dan perang Ukraine-Russia yang mengganggu rantaian bekalan serta memberi kesan besar kepada perdagangan global, pelaburan dan kos sara hidup.
“Angka-angka mendedahkan daya tahan ASEAN yang mengagumkan. Bagi rantau ini secara keseluruhan, KDNK berkembang purata tahunan 3.9 peratus, manakala KDNK per kapita meningkat purata tahunan tiga peratus antara 2015 hingga 2024 meskipun terdapat kemelesetan akibat Covid-19.
“Hari ini, rantau ASEAN dengan populasi hampir 700 juta mempunyai KDNK gabungan hampir AS$4 trilion. Namun kemajuan ini tidak boleh membawa kita kepada sikap sambil lewa.
“Pertumbuhan ekonomi mesti terus menyeluruh dan saksama, memberi manfaat kepada semua orang, dari ibu kota hingga ke pekan kecil dan komuniti luar bandar,” titah baginda sempena Sidang Kemuncak Pertumbuhan Inklusif ASEAN, di sini semalam.
Baginda bertitah, pembangunan inklusif perlu memenuhi keperluan rakyat tanpa menjejaskan keupayaan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka sendiri.
“Ini penting untuk kestabilan, perpaduan serantau dan legitimasi institusi. Pertumbuhan yang benar-benar inklusif mesti dikongsi, berdaya tahan dan mampan kerana tanpa keterangkuman, kemajuan boleh menjadi rapuh apabila ketidaksamaan meningkat dan kepercayaan terhadap institusi terhakis.
“Tadbir urus yang baik menjadi asas kepada pertumbuhan inklusif. Di luar sistem dan peraturan, tadbir urus yang baik menekankan integriti iaitu melakukan apa yang betul walaupun tiada siapa yang memerhati dan memberi kuasa kepada komuniti tempatan untuk bersuara,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, di seluruh ASEAN, rakyat menuntut institusi yang berkhidmat untuk kebaikan awam, adil, dan bertindak demi kepentingan awam. – UTUSAN










