Ketua Pengarah Imigeresen tinjau operasi di UTC Negeri Sembilan

Ketua Pengarah Imigeresen tinjau operasi di UTC Negeri Sembilan

ihsan JIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban meneruskan komitmen turun padang apabila meninjau sendiri operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan hari ini dalam usaha memastikan mutu perkhidmatan jabatan itu sentiasa menepati ekspektasi rakyat.

Lawatan itu melibatkan tinjauan di Pejabat Imigresen UTC Seremban, Bahagian Visa, Pas dan Permit serta Bahagian Pekerja Asing di Wisma Persekutuan Negeri Sembilan.

JIM dalam laman rasmi Facebooknya memaklumkan, pendekatan turun padang itu merupakan kesinambungan daripada siri lawatan mengejut yang dilaksanakan sebelum ini, bagi menilai tahap kesiapsiagaan pegawai barisan hadapan selain memastikan penyampaian perkhidmatan berada pada tahap optimum.

Zakaria turut meluangkan masa menyantuni pelanggan dan mendapatkan maklum balas secara langsung mengenai pengalaman mereka ketika berurusan di kaunter.

“Langkah itu penting bagi mengenal pasti sebarang kelemahan dan ruang penambahbaikan agar sistem penyampaian jabatan terus ditambah baik dari semasa ke semasa.

“Pendekatan ini berasaskan integriti, ketelusan dan akauntabiliti yang dibawa Ketua Pengarah itu mencerminkan semangat kepimpinan proaktif serta komitmen jabatan memperkasa imej dan integriti organisasi,” katanya.

Usaha berterusan ini juga seiring dengan misi kerajaan MADANI untuk memacu reformasi perkhidmatan awam yang lebih manusiawi, profesional dan berprestasi tinggi demi kepentingan rakyat.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi),Lokman Effendi Ramli, Pengarah Imigresen Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang, serta Pengarah Bahagian Pengurusan Depot dan Tahanan, Rosmaliza Mohamed Rashid. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN