Keterangkuman, kebersamaan diSidang Kemuncak ASEAN Ke-47

Keterangkuman, kebersamaan di Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama pemimpin-pemimpin negara ASEAN serta pemimpin rakan dialog pada Majlis Perasmian Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini berjaya melakar sejarah dalam memperkukuh komitmen rantau Asia Tenggara di bawah tema Keterangkuman dan Kebersamaan.

Ini menjadikan 2025 merupakan tahun penting bagi ASEAN dalam memperkasa blok yang terdiri daripada 11 negara anggota termasuk penyertaan baharu Timor Leste.

Penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN yang Malaysia sudah lima kali menjadi tuan rumah adalah platform penting untuk blok itu.

Ia bukan sahaja menjadi satu medan pertemuan dalam kalangan negara serantau, sebaliknya di peringkat global dengan kehadiran pemimpin seperti Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump selain China, Jepun, Eropah, Asia Barat, Kanada, Amerika Latin, Australia, New Zealand dan Afrika Selatan sekali gus kepengerusian Malaysia dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 berjaya menjadi salah satu daripada perhimpunan antarabangsa terbesar dan paling signifikan yang pernah dianjurkan melangkaui garis sempadan diplomasi, mencerminkan semangat persahabatan dan kepercayaan yang tulus antara negara ASEAN.

Buktinya dapat dilihat dalam Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan semalam menerusi beberapa acara, jelas menunjukkan ASEAN sebagai sebuah blok yang menjaga kepentingan rantau Asia Tenggara.

Justeru, negara anggota ASEAN kini menumpukan perhatian secara kolektif terhadap pelaksanaan Visi ASEAN 2045: Masa Depan Bersama dengan aspirasi ‘Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti’ yang menuntut penyatuan ASEAN.

Perkara tersebut ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyeru agar negara anggota terus bersatu dan memperbaharui semangat kerjasama dalam menghadapi dunia yang semakin tidak menentu serta sarat dengan persaingan geopolitik.

Anwar ketika berucap pada Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) semalam menegaskan bahawa kepimpinan bukan sekadar rutin, tetapi soal pilihan untuk menentukan keutamaan, memperkukuh perpaduan, dan mengemudi haluan rantau ini ke arah masa depan yang diyakini rakyat.

“Dalam cabaran ini, ASEAN mesti kekal percaya bahawa hormat dan rasional masih mengikat kita bersama,” katanya.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika menjelaskan tentang Visi ASEAN 2045 berkata, aspirasi berkenaan disokong empat pelan strategik dengan rangka kerja menyeluruh bagi memandu transformasi rantau ini dalam tempoh dua dekad akan datang.

Empat Pelan Strategik uta­ma meliputi aspek Politik-Keselamatan, Ekonomi, Sosio-Budaya dan Kesalinghubungan dengan berperanan sebagai peta hala tuju strategik selama 20 tahun yang akan diterima pakai serta dijadikan panduan negara-negara di rantau ini.

SIDANG Kemuncak ASEAN Ke-47 menjadi saksi kepada Perjanjian
Damai Kuala Lumpur iaitu penyekesaian konflik antara Kemboja dan
Thailand yang disaksikan oleh Anwar Ibrahim dan Donald Trump.

Pelan itu dirangka dengan lebih berani, pragmatik dan realistik untuk memastikan rantau ASEAN dapat dipimpin dan dibangunkan dengan berkesan di sebalik ketidaktentuan geopolitik dunia serta perang perdagangan antarabangsa.

Selain menyentuh soal penyatuan ASEAN dan Visi ASEAN 2045, pembukaan hari pertama turut menyaksikan detik bersejarah apabila Timor Leste secara sah menjadi negara anggota ASEAN.

Deklarasi penyertaan Timor Leste yang dimeterai turut menjadi tanda kejayaan Malaysia sepanjang kepengerusian ASEAN.
Lebih penting Perdana Menteri Timor Leste, Kay Rala Xanana Gusmao menyifatkan penyertaan tersebut dapat memperkukuh blok ASEAN dan membuka peluang besar negara itu dalam bidang pelaburan, perindustrian, pendidikan dan ekonomi digital.

Malah kegembiraan jelas terpancar dalam kalangan delegasi Timor Leste sebagai negara anggota ke-11 ASEAN sejurus
penyertaan itu diumumkan dalam majlis penuh bersejarah.

Di samping itu, tandata­ngan perjanjian damai antara Kemboja dan Thailand di Kuala Lumpur dengan disaksikan Anwar serta Trump menjadi bukti nyata bahawa semangat ASEAN masih hidup dalam memelihara keamanan serantau.

Kejayaan penting ke arah usaha diplomasi damai ASEAN dalam menyelesaikan pertikai­an serantau secara aman dan konstruktif itu memperkukuh kepercayaan terhadap Malaysia sebagai pemudah cara keamanan di rantau ini.

Penyertaan Timor Leste dan Perjanjian Damai Kemboja-Thailand akan menyokong kepimpinan ASEAN sebagai badan yang disegani dalam jangka panjang.

Maka tiba masanya ASEAN menggunakan peluang ini de­ngan sebaik mungkin, bukan sebaliknya.

Dalam perkembangan lain, majlis pembukaan turut menyaksikan penganugerahan ASEAN Prize 2025 kepada Union of Youth Federation of Cambodia (UYFC) sebagai pengiktirafan atas sumbangan dalam memperkukuh penglibatan belia dan memajukan integrasi serantau.

Anugerah berprestij itu Anwar selaku Pengerusi ASEAN kepada Naib Presiden UYFC, Dam Dariny dengan disaksikan Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn.

Anugerah tahunan itu diperke­nalkan sejak tahun 2018 ketika Sidang Kemuncak ASEAN Ke-33 di Singapura bertujuan meraikan individu dan organisasi cemerlang ASEAN atas sumbangan pembinaan komuniti serantau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN