Kesemua 145 aktivis kemanusiaan FFC dipindah ke penjara Israel

Kesemua 145 aktivis kemanusiaan FFC dipindah ke penjara Israel

KAMARUL ZAMAN SHAHARUL ANWAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Sembilan kapal yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) telah ditunda ke Pelabuhan Ashdod, Israel manakala kesemua 145 aktivis atas kapal berkenaan termasuk sembilan rakyat Malaysia dipindahkan ke Penjara Ketziot di Negev, Israel.

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, perkara itu dimaklumkan oleh pasukan guaman daripada Pusat Undang-undang bagi Hak Minoriti di Israel (ADALAH) yang mewakili aktivis terlibat.

Katanya, pasukan peguam ADALAH telah bertemu dengan sebahagian delegasi termasuk tujuh daripada sembilan rak­yat Malaysia yang ditahan bagi menguruskan urusan guaman.

“Peguam memaklumkan ada antara aktivis yang mengalami keganasan ketika pro­ses pemintasan kapal dan mereka telah memohon untuk bertemu dengan individu ter­babit bagi mendapatkan kete­rangan lanjut.

“Kesemua sembilan delegasi Malaysia dilaporkan dalam keadaan selamat dan proses guaman masih berjalan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat MyCARE di sini, semalam.

Kamarul Zaman berkata, pi­hak peguam juga telah menuntut untuk hadir dalam semua sesi perbicaraan dan akan memaklumkan perkembangan ter­­­kini sebaik dibenarkan oleh pihak berkuasa Israel.

Beliau menjelaskan, MyCARE belum menerima sebarang maklumat berhubung kemungkinan insiden keganasan yang melibatkan rakyat Malaysia se­panjang operasi pemintasan dijalankan.

“Setakat ini kami masih menunggu pengesahan rasmi daripada pasukan guaman mengenai keadaan sebenar di lapangan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan tiga ahli Parlimen Turkiye yang menyertai misi sama dijangka dihantar pulang selewat-lewat­nya pagi ini.

“Perbicaraan tribunal terha­dap aktivis dijangka berlangsung dalam tempoh dua hari akan datang,” katanya.

Semalam, kapal-kapal dalam misi berkenaan termasuk Conscience dan Umm Saad tiba di Pelabuhan Ashdod.

Conscience merupakan kapal pertama tiba sekitar pukul 12 tengah malam waktu Malaysia, diikuti Umm Saad kira-kira enam jam kemudian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN