PETALING JAYA: Bermula hari ini sehingga 31 Oktober ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mendengar hujahan di akhir kes pembelaan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Selepas itu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) akan membuat keputusan sama ada akan mensabitkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram atau sebaliknya.
Sekiranya disabitkan dengan kesalahan itu, peluang Najib untuk menjalani baki hukuman bagi kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. di rumah akan menjadi sangat tipis.
Kes penyelewengan dana terbesar itu boleh dianggap sebagai kes terakhir yang dihadapi oleh bekas Ahli Parlimen Pekan itu. Ini kerana dua kes yang sebelum ini masih belum dibicarakan telahpun dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah.
Dua kes tersebut adalah kes pecah amanah harta Kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) yang mana Najib didakwa bersama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah.
Kes kedua pula membabitkan tiga pertuduhan pengubahan wang haram RM27 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
Hakim Sequerah menetapkan tarikh hujahan itu pada 6 Mei lalu selepas pihak pembelaan yang diketuai peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menutup kes mereka setelah memanggil 26 orang saksi.
Najib adalah saksi pertama pembelaan yang mengambil masa selama 12 hari untuk membaca pernyataan saksi setebal 678 muka surat. Secara keseluruhan Najib berada di kandang saksi selama 26 hari termasuk sesi soal balas dan pemeriksaan semula.
Lain-lain saksi pembelaan yang dipanggil memberi keterangan ialah bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa, bekas pegawai penyiasat asal kes 1MDB, Penolong Kanan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Bahagian Pengubahan Wang Haram (AMLA), Mohd. Nasharudin Amir dan pegawai perakam, (Datuk) Mohd. Hafaz Nazar (kini Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA).
Pendakwaan menutup kes mereka pada 30 Mei 2024 iaitu selepas 235 hari perbicaraan membabitkan 50 saksi pendakwaan. Secara keseluruhan, perbicaraan kes 1MDB mengambil masa 293 hari.
Pada peringkat awal perbicaraan, pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram. Beliau bagaimanapun meninggal dunia di usia 79 tahun pada 29 Januari 2023.
Pendakwaan kemudian diambil alih oleh Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Perundangan Dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Ahmad Akram Gharib dan Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar.
Perbicaraan 1MDB turut mencipta sejarahnya tersendiri apabila prosiding turut bersidang pada hari Sabtu. Hakim Sequerah bertindak sedemikian selepas kes itu berlanjutan melebihi 200 hari perbicaraan. – UTUSAN










