Kerjasama PMED, AirAsia perkukuh P.Pinang sebagai destinasi pelancongan perubatan

Kerjasama PMED, AirAsia perkukuh P.Pinang sebagai destinasi pelancongan perubatan

WONG Hon Wai (tiga dari kiri) bersama Fareh Mazputra (tiga dari kanan) pada majlis pemeteraian MoC antara PMED dan AirAsia Berhad di George Town, Pulau Pinang semalam.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Usaha memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi utama pelancongan perubatan menerima dorongan baharu susulan termeterainya satu Memorandum Kerjasama (MoC) antara Pusat Pelancongan Perubatan Pulau Pinang (PMED) dengan syarikat penerbangan AirAsia, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata, menerusi kerjasama itu, pelancong antarabangsa yang menaiki penerbangan tersebut ke Pulau Pinang akan menikmati diskaun sehingga 15 peratus bagi pemeriksaan kesihatan premium.

Selain itu, Hon Wai berkata, pelancong yang berkenaan juga akan menerima baucar sah selama sebulan serta akses eksklusif ke hospital terkemuka di negeri ini.

“Kerjasama ini merupakan sebahagian daripada langkah strategik untuk menarik lebih ramai pesakit antarabangsa, khususnya dari kalangan negara anggota ASEAN, China, India dan negara-negara di Timur Tengah.

“Pada masa yang sama, kerjasama tersebut turut menyokong inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) serta Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia 2026.

“Dalam hal ini, Pulau Pinang bukan sekadar akan dikenali sebagai tempat rawatan, tetapi, destinasi penyembuhan menyeluruh yang menggabungkan penjagaan kesihatan berkualiti, warisan budaya, dan makanan bertaraf dunia,” kata beliau.

Terdahulu, majlis menandatangani MoC itu diadakan sebuah hotel di sini bersama pelancaran kempen ‘AirAsia Boarding Pass Privileges (BPP): Medical Offers for International Travelers’ yang berlangsung dari 1 September lalu sehingga 31 Disember tahun depan.

Pada majlis tersebut, PMED diwakili oleh Hon Wai sendiri manakala AirAsia Berhad pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Kapten Fareh Mazputra. Turut menandatangani memorandum berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Penang Global Tourism, Ooi Chok Yan.

Difahamkan, ketika ini, PMED mempunyai 18 institusi keahlian, termasuk Columbia Asia Hospital Batu Kawan yang mula beroperasi sejak Julai lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN