Kerjasama Johor-Singapura-BKK pacu integrasi ekonomi

Kerjasama Johor-Singapura-BKK pacu integrasi ekonomi

GAN Kim Yong ketika hadir pada Sidang Media Majlis AEC ke-26 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini. UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia, Singapura dan Indonesia dalam perbincangan bagi mewujudkan kerjasama tiga wilayah yang dijangka mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi serantau ASEAN dengan penglibatan Johor, Singapura serta Batam-Bintan-Karimun (BBK).

Timbalan Perdana Menteri Singapura, Gan Kim Yong berkata, inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang pada asalnya berteraskan hubungan dua hala kini semakin diperkukuh hasil ke­sefahaman serantau di bawah kerangka ASEAN.

“Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura adalah satu bentuk kerjasama dua hala. Namun ia turut diperkuatkan melalui hubungan serantau di bawah ASEAN, yang membolehkan kedua-dua negara bekerjasama dengan lebih rapat,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) semalam.

Kim Yong yang juga Menteri Perdagangan dan Industri Singapura berkata, perbincangan awal sedang dijalankan bagi meneroka potensi kolaborasi tiga pihak antara Johor, Singapura dan BBK bagi membentuk ekosistem pelaburan lebih menyeluruh dan berdaya saing.

“Kita sedang meneroka potensi kolaborasi tiga pihak. Dahulu pernah ada idea untuk menghubungkan Singapura, Johor dan Kepulauan Riau dan kini kami kembali menilai konsep itu bagi melihat peluang baharu untuk ketiga-tiga wilayah bekerja bersama,” jelasnya.

Tambah beliau, Singapura sudah mempunyai projek dua hala dengan Johor dan BBK, dan langkah seterusnya ialah menggabung kekuatan sedia ada bagi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti ke rantau ini.

“Apabila kita mempromosi pelaburan ke rantau ini, ia bukan lagi soal menarik pelabur hanya ke Singapura atau Johor, tetapi ke rantau Johor-Singapura-BBK secara keseluruhan. Ini memberikan lebih banyak pilihan dan nilai tambah kepada pelabur,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Kim Yong mengakui kerjasama tiga pihak bukan sesuatu yang mudah, namun yakin pengalaman dan kepercayaan yang terjalin me­lalui kerangka ASEAN mampu membantu menjayakan usaha tersebut.

“Kerja dengan dua pihak sudah mencabar, dengan tiga pihak pasti lebih sukar. Namun kami bersetuju terus meneroka bidang kerjasama baharu yang boleh memberi manfaat kepada semua,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN