Kerjasama GRS-PH kekal utuh, fokus hadapi PRN Sabah - Rina Jainal

Kerjasama GRS-PH kekal utuh, fokus hadapi PRN Sabah – Rina Jainal

RINA Jainal (dua kiri) menerima cenderahati daripada Setiausaha Majlis Perbandaran Tawau, Siti Nabilah Hadi. - GAMBAR/BESSE AISYAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Datuk Rina Jainal menegaskan, kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) kekal utuh serta konsisten menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Beliau berkata, keserasian dan persefahaman antara kedua-dua gabungan itu menjadi faktor penting dalam memastikan kestabilan politik Sabah terus terpelihara.

“Setakat ini, kerjasama dengan PH adalah yang paling konsisten sepanjang proses menuju pilihan raya,” katanya ditemui selepas menghadiri Program Karnival Perpaduan Komuniti peringkat Majlis Perbandaran Tawau (MPT) di Dewan Terbuka Taman Victoria di sini, hari ini.

Ahli Majlis Tertinggi (AMT) GRS itu berkata, komitmen berterusan antara GRS dan PH menunjukkan kesediaan kedua-dua pihak untuk bekerjasama dalam membentuk kerajaan yang stabil dan fokus kepada pembangunan rakyat.

Beliau menambah, pihaknya mahu memastikan perancangan untuk rakyat khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan diteruskan tanpa gangguan politik bagi memastikan mesej kerajaan sampai kepada semua lapisan masyarakat.

“Kami sudah bersedia dengan gerak kerja di lapangan sebaik sahaja diberikan mandat untuk menjadi wakil rakyat kawasan ini pada PRN lalu. Sekarang hanya perlu menambah baik jentera untuk menghadapi PRN kali ini,” katanya.

Ditanya mengenai tanggapan bahawa Kukusan bakal menjadi antara kerusi panas dalam PRN akan datang, Rina berkata, beliau terbuka terhadap sebarang kemungkinan saingan dan menegaskan bahawa fokus utama adalah kepada rakyat.

“Semua orang berhak dan mempunyai peluang untuk berkhidmat, tetapi yang penting ialah siapa pun yang terpilih nanti mesti benar-benar bekerja untuk rakyat,” katanya.

Sementara itu, Rina berkata, pembubaran DUN Sabah boleh berlaku pada bila-bila masa menjelang tarikh matang 9 Oktober ini.“Secara teknikal, tarikh matang ialah 9 Oktober, tetapi ada juga yang menyebut 11 Oktober sebagai tarikh paling lewat. Jadi, dalam tempoh ini, bila-bila masa pun boleh terbubar dengan sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN