Kerja pembersihan kesan puting beliung Sijangkang bermula

Kerja pembersihan kesan puting beliung Sijangkang bermula

PENDUDUK giat membersihkan rumah yang terkesan akibat ribut dan puting beliung di perumahan Jalan Manggis, Telok Panglima Garang, Selangor, semalam.-UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Kerja-kerja pembersihan dan pembaikian kerosakan empat buah sekolah yang dibadai ribut dan puting beliung dekat Sijangkang, Teluk Panglima Garang di sini sudah bermula.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan seluas kira-kira 20 hektar menempatkan Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sijangkang Jaya, SK dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan itu mendapati kerja-kerja itu  bermula apabila jentera milik Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) mula memasuki kawasan terlibat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) meluluskan peruntukan awal sebanyak RM320,000 di bawah Tabung Bencana Negeri bagi membaik pulih SRA Kampung Medan.

Katanya, selain peruntukan tersebut, dua agensi negeri iaitu Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) masing-masing menyediakan peruntukan sebanyak RM400,000 dan RM164,000.

“Peruntukan di bawah Yayasan MBI dan MAIS diberikan kepada enam buah sekolah (termasuk SK Jalan Tanjung dan SRA Kampung Medan), pusat khidmat dan keluarga mangsa ribut,” katanya kepada pemberita, semalam.

Menurutnya, kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan berjumlah RM64,000 kepada 64 keluarga mangsa ribut bagi meringankan beban ditanggung akibat bencana itu.

“Jabatan Kesihatan Negeri Selangor turut mengesan 14 penduduk termasuk seorang pegawai pusat khidmat mengalami kecederaan akibat kejadian ribut itu. Kesemua mereka sedang dirawat di hospital kerajaan dan diberikan bantuan RM1,000 seorang,” katanya.

Semalam akhbar ini melaporkan, sesi persekolahan sekurang-kurangnya 4,000 pelajar di kesemua sekolah berkenaan tergendala selepas mengalami kerosakan teruk pada bahagian bumbung bangunan serta kemudahan lain akibat ditiup angin ribut dan puting beliung.

Bencana itu turut menyebabkan 13 murid SRA Kampung Medan cedera ringan manakala seorang lelaki cedera di mata dan seorang wanita patah kaki akibat dihempap besi.

Amiruddin menyifatkan kejadian angin kencang dan puting beliung yang melanda Meru, Klang dan Sijangkang, Kuala Langat sejak Selasa sebagai kejadian ribut paling buruk pernah melanda negeri ini.

Susulan itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memperuntukkan  RM1.9 juta bagi  kerja pembersihan kerosakan enam bangunan awam yang dibadai ribut dan angin kencang terbabit.

Sementara itu, seorang petugas keselamatan sekolah mahu dikenali Hafiz, 50, berkata, guru-guru, ibu bapa dan murid boleh datang ke sekolah untuk mengambil barang keperluan pembelajaran sebelum JKR memulakan kerja pembaikan.

“Bagi ibu bapa hendak mengambil buku boleh datang ke pondok berdekatan pintu masuk sekolah. Mereka tak dibenarkan masuk ke dalam sekolah kerana keadaan tidak selamat.

“Kemudian, meja dan buku akan diletakkan di luar pagar oleh guru bertugas kerana JKR mengarahkan kawasan sekolah ditutup. Sesiapa pun tak dibenarkan masuk termasuk guru,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN