Kerajaan Pusat belanja RM6.6b laksana 143 projek di Kedah

Kerajaan Pusat belanja RM6.6b laksana 143 projek di Kedah

AHMAD Maslan (tengah) melawat Projek Contoh Membina Jalan dan Jambatan Alor Ganu/ Titi Gajah Daerah Kota Setar Ke Titi Besi, Daerah Kubang Pasu hari ini. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan Persekutuan menunjukkan komitmen tinggi terhadap pembangunan negeri Kedah apabila sebanyak 143 projek bernilai keseluruhan RM6.6 bilion sedang dan bakal dilaksanakan di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, daripada jumlah itu, 60 projek sedang dalam pembinaan dengan nilai RM3.1 bilion manakala 83 lagi projek dalam perancangan yang bernilai RM3.5 bilion.

“Saya telah memaklumkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah dalam pertemuan pagi tadi bagaimana sayangnya kerajaan Malaysia Madani pada negeri Kedah walaupun tidak sehaluan dari segi politik.

“Pada ketika ini, terdapat 60 projek sedang berjalan di bawah JKR dengan nilai RM3.1 bilion, sementara 83 lagi projek dirancang melibatkan nilai RM3.5 bilion,” katanya kepada pemberita selepas melawat Projek Contoh Membina Jalan dan Jambatan Alor Ganu/Titi Gajah Daerah Kota Setar Ke Titi Besi, Daerah Kubang Pasu.

Menurut Ahmad, antara projek terbesar yang sedang dilaksanakan adalah pembinaan kuarters Kementerian Kesihatan (KKM) di Langkawi dengan peruntukan RM88.68 juta.

Sementara itu, dalam perancangan pula termasuk projek pembinaan Hospital Kulim yang dianggarkan menelan kos sebanyak RM400 juta.

Beliau berkata, pelaksanaan projek-projek tersebut bukan sahaja akan memperkukuh infrastruktur di negeri Kedah, malah memberi limpahan ekonomi serta manfaat terus kepada rakyat.

“Kerajaan Madani akan terus memastikan setiap negeri mendapat pembangunan yang seimbang tanpa mengira perbezaan fahaman politik,” katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata, sebanyak 253 projek yang sedang dalam pembinaan atau 29.25 peratus kini disiapkan lebih awal manakala 266 projek atau 30.7 peratus mengikut jadual.

“Daripada 865 projek yang dalam fasa pembinaan, sebanyak 841 berada di bawah seliaan JKR Malaysia, manakala 24 projek lagi melibatkan sekolah daif di bawah seliaan JKR Sabah dan JKR Sarawak. 

“Projek-projek ini dimiliki pelbagai kementerian termasuk Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Pertahanan (MINDEF), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan kementerian lain.

“Sebanyak 519 projek atau 23.38 peratus yang diselia oleh JKR Malaysia sedang berjalan lancar di mana 253 projek dalam kategori Awal Dari Jadual dan 266 projek pula dalam kategori Mengikut Jadual,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN