Kerajaan beri jaminan bantu sektor sukan - Utusan Malaysia

Kerajaan beri jaminan bantu sektor sukan

ANWAR Ibrahim melakukan gimik Perasmian Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Kebangsaan 2025 di Ipoh, hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa sektor sukan akan terus menjadi tumpuan kerajaan sama seperti sektor lain.

Beliau berkata, pembangunan sukan bukan sahaja penting untuk melahirkan atlet berbakat, tetapi berperanan besar dalam membentuk disiplin, semangat juang dan perpaduan dalam kalangan rakyat.

“Saya dan Hannah Yeoh (Menteri Belia dan Sukan) akan perhati, kami cuba bantu apa yang mampu, walau sekecil-kecilnya.

“Kerana negara ini bukan sahaja nak maju dari segi ekonomi, budaya dan intelek, tapi kita juga mahu maju dari segi sukan,” katanya berucap ketika merasmikan program Hari Sukan Negara Peringkat Kebangsaan 2025 di Bulatan Sultan Azlan Shah, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah.

Menurut Anwar, beliau menghargai sumbangan golongan muda dalam bidang sukan kerana peranan mereka mampu menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.

Malah beliau menzahirkan rasa bangga melihat semangat perpaduan yang dizahirkan oleh masyarakat berbilang kaum di negara ini menerusi aktiviti sukan.

“Teruskan dengan semangat, disiplin dan perpaduan. Tengok ini, Cina, Melayu, India dan Kadazan semua ada,” katanya.

Pada majlis itu, Anwar turut menyampaikan Anugerah Sukan kepada lapan penerima sebelum melepaskan peserta Larian Ria Madani dan melawat reruai pameran.

Lebih 40 acara utama di peringkat kebangsaan dan ratusan aktiviti di peringkat negeri serta daerah dianjurkan dengan sasaran penyertaan seramai 5.2 juta rakyat Malaysia.

Antara aktiviti menarik yang diadakan termasuk Larian Ria Madani, berbasikal, pickleball, stacking, pound, senamrobik, bola jaring, wall climbing dan sukan tradisional. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN