Kerajaan ambil tindakan tegas isu keselamatan sekolah – PM

Kerajaan ambil tindakan tegas isu keselamatan sekolah – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengambil tindakan tegas berhubung isu keselamatan di sekolah susulan insiden seorang pelajar ditikam di sebuah sekolah semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, langkah itu termasuk meneliti semula pengaruh aplikasi media sosial melalui penggunaan telefon pintar yang dilihat semakin membimbangkan dalam kalangan pelajar.

Kita akan adakan perjumpaan mengenai isu ini. Saya sudah komen tentang sekolah terbabit, tetapi apabila kita lihat secara menyeluruh, hampir kesemuanya berbalik kepada telefon pintar, media sosial, aplikasi.

“Jadi mungkin hari ini atau esok saya akan mengadakan mesyuarat Jemaah Menteri untuk membincangkan perkara ini. (Kerajaan) harus ambil tindakan tegas,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Beliau mengulas insiden kes bunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, semalam.

Siasatan awal mendapati kejadian membabitkan suspek, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun manakala, mangsa pelajar perempuan berusia 16 tahun.

Menurut Anwar, hasil penelitian awal menunjukkan punca kejadian isu disiplin di sekolah banyak berkait rapat dengan pengaruh media sosial serta penggunaan telefon pintar secara berlebihan.

Beliau turut menegaskan keperluan pihak sekolah dan keluarga memainkan peranan lebih aktif dalam mendidik serta memantau anak-anak agar tidak terjebak dengan pengaruh negatif di alam maya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN