SEPANG: Kepulangan 23 aktivis Malaysia ke tanah air adalah bukti kejayaan besar diplomasi dan rundingan dilakukan Malaysia serta lambang solidariti antarabangsa.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau bersyukur di atas kepulangan aktivis berkenaan sekali gus mencetus kelegaan dan kebanggaan di peringkat nasional.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas usaha diplomasi berterusan dilaksanakan pada peringkat tertinggi termasuk sokongan kepimpinan negara sahabat seperti Turkiye, Mesir dan Jordan,” katanya ketika berucap pada majlis menyambut ketibaan 27 aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) Malaysia di sini, malam tadi.
Katanya, kerajaan Turkiye memainkan peranan penting dalam memudah cara pembebasan sukarelawan Malaysia yang telah ditahan secara tidak sah di Israel selepas kapal mereka dipintas di perairan antarabangsa pada 2 Oktober lalu.
Mohamad berkata, beliau menegaskan aktivis itu tidak memasuki Israel secara haram, sebaliknya dikepung di perairan antarabangsa ketika dalam perjalanan menuju ke Gaza.
“Mereka tak pergi ke Israel, mereka nak pergi ke Gaza tetapi dikepung tentera rejim zionis dan ditahan. Jadi, jangan dengar cakap-cakap orang,” katanya.
Terdahulu, pesawat Emirates Airbus 380 yang membawa 27 aktivis Malaysia selamat mendarat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini malam tadi. – UTUSAN