Kepuasan berkubang ‘menggagau’ ikan

Kepuasan berkubang ‘menggagau’ ikan

SEKUMPULAN kanak-kanak berkubang di dalam selut ‘menggagau’ ikan yang menjadi rutin tahunan setiap kali selepas musim menuai padi di Kampung Bakong, Arau, Perlis semalam. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Aktiviti menyerkap atau menangkap ikan selepas musim menuai padi terus menjadi keterujaan dalam kalangan penduduk khususnya kanak-kanak di kampung yang rancak berkubang ‘menggagau’ ikan.

Menjadi kepuasan kepada mereka apabila pulang ke rumah membawa pulang hasil tangkapan yang banyak antaranya seperti ikan haruan, puyu dan sepat.

Tinjauan Utusan Malaysia di Kampung Bakong di sini semalam menyaksikan ramai da­lam kalangan kanak-kanak begitu teruja menyertai aktiviti menyerkap ikan tersebut.

Mereka tidak kisah berkubang di dalam selut mencuba nasib ‘menggagau’ ikan dengan guni yang dibawa penuh dengan ha­sil tangkapan.

Meskipun dalam zaman serba moden, aktiviti tersebut sudah semakin dilupakan, namun bagi penduduk di kawasan itu, ia tetap menjadi rutin tahunan bagi mereka.

Putera Haziq Shah Putera Abu Bakar Shah, 17, berkata, dia masih meneruskan aktiviti menyerkap ikan meskipun ramai rakan sebaya sudah tidak berminat dengan aktiviti tersebut.

Dia selalunya akan mengikut aktiviti membajak di sawah-sawah padi sekitar kawasan rumahnya dan menuruti di belakang traktor untuk menyerkap ikan.

“Setiap kali selepas musim menuai padi, saya bersama rakan-rakan tidak akan melepaskan peluang melakukan aktiviti menyerkap ikan ini.

“Sepanjang melakukan aktiviti serkap ikan ini, saya tidak pernah saya pulang dengan tangan kosong. Ada sahaja ikan yang dibawa pulang ke rumah dan ia menjadi satu kepuasan,” katanya.

Katanya lagi, aktiviti serkap ikan khususnya di negeri ini masih rancak dengan kanak-kanak juga masih meneruskan tradisi berkenaan.

“Kanak-kanak ini tidak kisah ‘berkotor’ atau berlumpur bagi melakukan aktiviti menyerkap ikan ini dan ia sesuatu aktiviti yang cukup menyeronokkan,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN