ALOR SETAR: Kenaikan mendadak cukai taksiran Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) kenaikan kadar secara mengejut tanpa libat urus awam mencukupi jelas membebankan rakyat, peniaga kecil dan pemilik premis, khususnya dalam suasana ekonomi tidak menentu.
Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, setiap dasar memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat mesti dilaksanakan secara telus, berperingkat dan mengambil kira kemampuan semasa.
“Kami menyokong penuh kenyataan pelbagai pihak termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kedah dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang meminta kerajaan negeri dan MBAS menyemak semula kadar baharu cukai taksiran tersebut.
“Langkah ini perlu dikaji semula secara menyeluruh agar ia tidak menjejaskan daya saing ekonomi dalam Bandaraya Alor Setar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, kegelisahan penduduk dan pemilik premis perniagaan di bandar raya ini yang mula menerima surat putih daripada MBAS.
Notis memaklumkan kadar baharu cukai taksiran atau cukai pintu bermula 1 Januari 2026 melibatkan sebahagian kenaikan yang dilaporkan mencecah lebih 200 peratus.
Ahmad Bashah berkata, MBAS didesak agar segera mengadakan sesi libat urus terbuka bersama wakil komuniti, pertubuhan perniagaan dan penduduk setempat bagi memberikan penjelasan terperinci berhubung asas pengiraan serta justifikasi kenaikan yang diumumkan.
“Sebagai pihak berkuasa tempatan, MBAS mempunyai tanggungjawab untuk menyelaras kutipan hasil dengan keperluan rakyat, bukan menekan kemampuan mereka. Segala keputusan mesti berpaksikan prinsip keadilan, ketelusan dan kesejahteraan masyarakat.
“UMNO Alor Setar akan terus memperjuangkan isu ini secara berhemah namun tegas, agar suara rakyat dan peniaga tidak diketepikan dalam sebarang keputusan pentadbiran,” katanya.-UTUSAN









