PETALING JAYA: Kenaikan cukai rokok dan arak dalam Belanjawan 2026 langkah wajar dan seimbang antara matlamat kesihatan awam serta keperluan menambah hasil negara.
Pengarah Program Pengajian Ekonomi, Institut Asia Tenggara Jeffrey Cheah, Universiti Sunway, Prof. Dr. Yeah Kim Leng berkata, kenaikan cukai sebanyak dua sen sebatang, walaupun dilihat kecil, tetap mampu memberi impak signifikan kepada hasil kerajaan khususnya apabila hasil tambahan itu disalurkan terus kepada Kementerian Kesihatan (KKM).
Beliau menegaskan, dasar fiskal seperti cukai kesihatan itu tidak seharusnya dilihat sebagai satu beban kepada industri tempatan, sebaliknya sebagai dorongan kepada inovasi dan perubahan corak pengeluaran serta pemasaran yang lebih bertanggungjawab terhadap kesihatan pengguna.
“Kenaikan ini telah dijangka memandangkan tiada semakan dibuat dalam beberapa belanjawan terdahulu.
“Ia juga selaras dengan pendekatan perbelanjaan berasaskan merit, iaitu menyalurkan hasil cukai kepada sektor yang menangani masalah sosial dan kesihatan masyarakat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Kadar duti eksais ke atas produk rokok dan minuman beralkohol dinaikkan mulai 1 November ini, dengan hasil tambahan itu disalurkan kepada KKM.
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2026 dengan cukai rokok dinaikkan dua sen sebatang, manakala cerut, cheroots dan cigarillos dinaikkan kepada RM40 sekilogram.
Kim Leng berkata, sistem kesihatan awam yang selama ini diiktiraf baik, kini berdepan tekanan hebat akibat peningkatan kos rawatan, inflasi perubatan serta isu populasi yang semakin menua.
“Kita tidak boleh hanya bergantung kepada rawatan semata-mata. Peralihan kepada penjagaan kesihatan pencegahan adalah penting dan cukai ke atas produk tidak sihat seperti rokok dan alkohol adalah sebahagian daripada strategi ini,” katanya.
Beliau turut sambut baik keputusan kerajaan menyalurkan kutipan cukai itu secara langsung kepada aktiviti promosi kesihatan yang dikendalikan oleh KKM, kerana ia memberi keyakinan kepada rakyat hasil yang dikutip dimanfaatkan sepenuhnya untuk kesejahteraan masyarakat.
“Kita sedang menyaksikan satu perubahan besar dalam pendekatan dasar, daripada rawatan kepada pencegahan, daripada beban kesihatan kepada pembudayaan gaya hidup sihat. Ini bukan hanya tanggungjawab kerajaan, tetapi perlu disokong oleh masyarakat secara menyeluruh,” katanya.
Ketua Strategi dan Pengurusan Risiko Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim, Universiti Teknologi Malaysia, Dr. Razli Ramli pula berkata, secara dasar, kenaikan dua sen sebatang rokok mungkin kelihatan kecil, namun dalam konteks penggunaan nasional, impaknya amat signifikan.
Ini kerana, katanya, Malaysia mencatat penggunaan rokok melebihi 15 bilion batang setahun.
“Justeru, tambahan dua sen sebatang mampu menjana hasil ratusan juta ringgit setahun. Lebih penting, kerajaan telah menegaskan hasil tambahan ini akan disalurkan terus kepada KKM, satu pendekatan amat tepat daripada sudut maqasid syariah dan keberkatan hasil.
“Hasil yang digunakan untuk memperkukuh sistem kesihatan awam, membiayai program pencegahan dan meningkatkan rawatan penyakit kronik akan membawa nilai barakah kerana ia kembali memelihara nyawa manusia yang merupakan maqasid tertinggi.
“Ia juga mewujudkan kitaran ekonomi yang beretika. Hasil daripada cukai produk mudarat digunakan untuk menghapuskan kemudaratan tersebut. Inilah ciri ekonomi Islam yang menolak hasil haram, tetapi mengurus sumber ‘syubhah’ dengan matlamat pemulihan masyarakat,” katanya. – UTUSAN










