Kemudahan permohonan kuota pekerja asing diberi mengikut kes 

Kemudahan permohonan kuota pekerja asing diberi mengikut kes 

Kemudahan permohonan kuota pekerja asing diberi mengikut kes. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju memberikan kemudahan permohonan kuota pekerja asing secara mengikut kes kepada tiga sektor iaitu perladangan, pertanian selain perlombongan dan pengkuarian bagi memenuhi keperluan tenaga kerja dalam sektor kritikal.

Kemudahan itu turut ditawarkan pada 10 subsektor iaitu kawalan keselamatan, barang logam dan lusuh; pembersihan dan pencucian bangunan, borong runcit, dobi, restoran, gudang darat, kargo, pembinaan di bawah projek-projek kerajaan dan pelaburan baharu di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia yang dicadangkan oleh agensi kawal selia.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pemberian kemudahan ini bukan sahaja memenuhi keperluan tenaga kerja dalam sektor kritikal, malah mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan keseimbangan antara kepentingan ekonomi dan kebajikan rakyat.

“Ia mencerminkan komitmen kerajaan meneruskan langkah kawalan penggajian pekerja asing yang fleksibel berasaskan keperluan sebenar industri untuk terus beroperasi dengan cekap dan berdaya saing.

“Pendekatan ini memberi ruang kepada kerajaan untuk meneliti semula pelaksanaan dasar serta mekanisme pengurusan penggajian pekerja asing pada tahun hadapan dengan jumlah siling pekerja asing ditetapkan hanya 10 peratus daripada jumlah guna tenaga negara pada tahun 2030,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, tempoh untuk majikan di bawah sektor dan subsektor yang dibenarkan memohon penggajian pekerja asing adalah sehingga 31 Disember depan.

Di bawah kemudahan ini, majikan yang mempunyai keperluan terhadap pekerja asing boleh mengemukakan permohonan kuota secara terus kepada Pusat Sehenti Pengurusan Pekerja Asing di KDN.

“Ia tertakluk kepada penilaian oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia serta agensi kawal selia yang berkaitan
dengan mengemukakan dokumen sokongan lengkap seperti ditetapkan.

“Permohonan kemudahan ini akan dinilai berdasarkan merit dan keperluan sebenar sektor masing- masing,” katanya.

KDN berkata, pelaksanaan kemudahan itu berteraskan prinsip Malaysia Madani yang menekankan keseimbangan antara keperluan ekonomi dan kesejahteraan sosial.

“Kerajaan komited memastikan penggajian pekerja asing dilaksana secara teratur, beretika dan berperikemanusiaan selaras dengan nilai ihsan, tanggungjawab dan kesejahteraan bersama,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN