KUALA LUMPUR: Kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN hari ini melengkapkan keluarga besar rantau itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyertaan itu memberi makna baharu kepada Wawasan Komuniti ASEAN 2045 sekali gus mencerminkan kekuatan rantau ini sebagai komuniti yang inklusif dan berdaya tahan menghadapi cabaran masa depan.
“Kemasukan bersejarah Timor-Leste sebagai anggota ASEAN hari ini memberi makna baharu kepada wawasan tersebut. Penyertaannya melengkapkan keluarga ASEAN, mengukuhkan lagi takdir bersama dan rasa kekitaan serantau,” katanya ketika berucap pada Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Penyertaan Timor-Leste dalam ASEAN penting agar negara tersebut menjadi sebahagian daripada keluarga serantau yang lebih besar dan kukuh bersama.
Sebelum ini, Menteri Hal Ehwal Luar dan Kerjasama Timor-Leste, Bendito Freitas berkata, perkara tersebut adalah satu detik bersejarah bagi mereka.
“Ia merupakan detik bersejarah bagi Timor-Leste kerana akhirnya kami menyertai ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47. Kami amat menghargai sokongan daripada Malaysia selaku pengerusi serta negara-negara lain,” katanya.
Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini membawa simbolisme mendalam dengan penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11 Asean, satu peristiwa di bawah pengerusian Malaysia.
Ia menghimpunkan semua pemimpin negara anggota ASEAN dan rakan dialog utama termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea Selatan dan Kesatuan Eropah.
Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2024 membawa tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan”, menumpukan kepada usaha memperkukuh perpaduan, kemakmuran dan daya tahan rantau ini.-UTUSAN









