Kemajuan ASEAN perlu pastikan tiada negara anggota tertinggal

Kemajuan ASEAN perlu pastikan tiada negara anggota tertinggal

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kemajuan ASEAN perlu seiring dengan prinsip keterangkuman dan kemampanan bagi memastikan tiada negara anggota tercicir daripada arus pembangunan serantau.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, prinsip tersebut menjadi asas kepada setiap inisiatif yang dilancarkan dalam usaha membina masa depan ASEAN yang berpaksikan nilai bersama, berpandangan jauh serta berdaya tahan menghadapi cabaran baharu.

“Fokus kita jelas iaitu memastikan kemajuan ASEAN bersifat inklusif tanpa meninggalkan mana-mana negara anggota atau komuniti serta mampan dengan menyeimbangkan pertumbuhan dan tanggungjawab.

“Tiga inisiatif yang dilancarkan hari ini mencerminkan semangat tersebut yang bersifat praktikal, berpandangan jauh dan berakar pada nilai bersama ASEAN,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran: Inisiatif ASEAN Mengenai Keterangkuman dan Kemampanan, di sini hari ini.

Tiga inisiatif tersebut ialah Pusat Kecemerlangan PKS untuk Peralihan Hijau di ASEAN, Laporan ASEAN Ahead: ASEAN STI Ecosystem Foresight 2035 and Beyond dan B ASEAN in 2025: Shaping an Inclusive and Sustainable Future.

Menurut Mohamad, ketiga-tiga inisiatif itu akan memperkukuh usaha Malaysia sepanjang tempoh Pengerusian ASEAN 2025 serta menjadi legasi penting yang memberi manfaat jangka panjang kepada seluruh rantau.

Katanya, Pusat Kecemerlangan PKS untuk Peralihan Hijau di ASEAN diwujudkan bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) di rantau ini beralih kepada model perniagaan hijau dan mampan sekali gus membolehkan transformasi ekonomi bermula dari akar umbi.

“PKS ialah tulang belakang ekonomi ASEAN yang menggaji majoriti tenaga kerja dan menjadi pemangkin inovasi tempatan. Melalui inisiatif itu, kita boleh memperkukuh daya saing ekonomi serantau dan memastikan peralihan hijau dapat disertai oleh semua tanpa mengorbankan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Laporan ASEAN Ahead merupakan langkah strategik demi masa depan rantau ini dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI).

Katanya, laporan tersebut membantu negara anggota mengenal pasti trend, gangguan serta peluang pada masa akan datang agar ASEAN dapat bertindak awal, bukan sekadar menunggu perubahan berlaku.

“Melalui inisiatif ini, kita dapat memastikan kemajuan ASEAN berasaskan ilmu, inovasi dan masa depan lebih inklusif serta mampan,” katanya.

Dalam pada itu, buku ASEAN in 2025: Shaping an Inclusive and Sustainable Future pula dihasilkan hasil kerjasama lebih 30 pemikir terkemuka rantau ini meliputi bidang geopolitik, kemampanan, perdagangan, ekonomi dan teknologi.

Mohamad berkata, buku itu bukan sekadar dokumentasi, sebaliknya menjadi refleksi, panduan dan mengingatkan kedudukan ASEAN tidak boleh dianggap terjamin secara automatik.

“ASEAN perlu sentiasa melalui proses refleksi, pembaharuan dan berpandukan idea berani yang memastikan rantau ini kekal dinamik dan berpandangan jauh,” katanya.

Menurut beliau, pelancaran tiga inisiatif tersebut memperkukuh pendekatan Malaysia yang mahu membangunkan rantau ini dengan menggabungkan kemajuan ekonomi, tanggungjawab sosial dan kelestarian alam sekitar.

“Apabila Malaysia menamatkan tempoh Pengerusian ASEAN 2025, kita mahu meninggalkan legasi sebuah rantau yang bersatu, kukuh dan bersedia menghadapi masa depan sebagai contoh keterangkuman dan kemampanan kepada dunia,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN