GEORGE TOWN: Hujan lebat berterusan dan tiupan angin kuat dikenal pasti sebagai punca utama kejadian tanah runtuh, pokok tumbang dan jatuhan batu yang berlaku di beberapa kawasan sekitar Pulau Pinang sejak Selasa lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, kejadian paling ketara direkodkan di Jalan Tun Sardon (Bukit Baru) apabila satu runtuhan cerun kritikal berlaku di Kilometer 5.10 laluan P14 pada petang semalam.
Menurut beliau, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang menerima aduan sekitar pukul 4.50 petang semalam daripada orang awam berhubung kejadian berkenaan sebelum pasukan JKR Daerah Barat Daya turun ke lokasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Hasil siasatan awal mendapati berlaku pergerakan tanah aktif dan runtuhan berada pada tahap kritikal. Sehubungan itu, laluan di P14 Jalan Tun Sardon telah ditutup sepenuhnya dari pukul 6 petang semalam hingga 6 petang 25 Oktober ini bagi tujuan keselamatan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, selain insiden itu, beberapa kejadian lain turut direkodkan di jajaran sama termasuk pokok tumbang dan batu jatuh di beberapa kilometer berbeza seperti di KM1.05, KM1.15, KM4.00, KM4.05, KM4.55 dan KM5.00.
“Secara keseluruhan, jajaran tersebut mencatat satu runtuhan cerun kritikal, 15 cerun terbuka, tujuh pokok tumbang, empat runtuhan batu dan satu mendapan jalan hasil pemeriksaan awal pasukan teknikal di lokasi,” katanya.
Tambahnya, siasatan teknikal terperinci akan dijalankan selepas kerja-kerja pembersihan selesai bagi menentukan tindakan susulan termasuk langkah mitigasi jangka panjang.
Dalam pada itu, katanya, sejak 21 Oktober lalu, beberapa insiden tanah runtuh tidak kritikal, pokok tumbang dan batu jatuh turut direkodkan di lokasi sekitar pulau antaranya Pearl Hill, Miami Green, Puncak Bukit Mutiara, Empangan Air Itam, Eco Terraces, Jalan Paya Terubong dan Jalan Teluk Bahang.
“Dua kes baharu tanah runtuh tidak kritikal turut dilaporkan malam tadi di kawasan Residensi 2, Teluk Kumbar dan Bukit Belah berhampiran Sekolah Kebangsaan Sungai Batu, namun keadaan masih terkawal.
“Selain itu, sebanyak 31 kes pokok tumbang dilaporkan kepada pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang telah diambil tindakan segera dengan kerjasama BOMBA, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM), Skuad Pantas MBPP, Bahagian Geoteknik MBPP, JKR dan PDRM,” katanya.
Sementara itu, katanya, satu lagi kes tanah runtuh dilaporkan berlaku di laluan FT006 Jalan Mengelilingi Pulau pada pukul 7.36 pagi hari ini, kira-kira 1.5 kilometer dari Titi Kerawang, melibatkan kawasan sepanjang 12 meter dengan kedalaman tiga meter.-UTUSAN










