PUTRAJAYA: Kedutaan Besar Malaysia di Jordan memantau rapat perkembangan terkini membabitkan rakyat Malaysia yang menyertai Misi Global Sumud Flotilla (GSF), khususnya mereka yang kini ditahan pihak berkuasa Israel.
Dalam satu kenyataan, kedutaan memaklumkan, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan pasukan peguam Malaysia di Amman bagi memastikan kesemua tahanan mendapat perlindungan undang-undang secara adil dan telus.
Selain itu, Kedutaan turut menjalinkan kerjasama erat dengan negara-negara sahabat ASEAN di Amman dan Tel Aviv bagi mendapatkan maklumat semasa mengenai tahanan Malaysia, selain menyalurkan bantuan konsular sewajarnya.
“Pihak Kedutaan akan terus komited memastikan kebajikan serta hak rakyat Malaysia terpelihara sepanjang tempoh penahanan,” jelas kenyataan itu.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Unit Hal Ehwal Palestin Kedutaan Besar Malaysia di Amman melalui e-mel amm.uhepekln.gov.my atau pegawai bertugas, Encik Muhd Irfan Zulkurnain (+962793811135) dan Puan Nur Najihah Md Abas (+962790800865). – UTUSAN