MELAKA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) merangka strategi baharu memastikan keberadaan anggota polis dan kekerapan rondaan di sekolah akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Katanya, pihak kementerian mengarahkan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay untuk membuat persiapan rapi termasuk merangka jadual lawatan anggota polis sebelum strategi baharu dilaksanakan dengan kadar segera.
Beliau berkata, kerajaan membuat keputusan tersebut bagi meredakan kebimbangan ibu bapa berhubung beberapa insiden jenayah yang berlaku dalam kalangan pelajar sekolah sejak kebelakangan ini.
“Jadi nanti kami akan hebahkan strategi baharu ini dan kita akan mulakan dalam masa terdekat sebab kita hendak redakan isu kebimbangan ibu bapa tentang keselamatan anak mereka di sekolah.
“Rondaan ini bersifat ‘omnipresent’ iaitu keberadaan anggota polis di sekolah menunjukkan bagaimana polis sebenarnya memberikan fokus dan mengambil berat soal aspek selamatan.
“KDN juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan terutama dalam merangka jadual lawatan lebih kerap ke sekolah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) 2025 dan pelancaran Sistem eRoses 2.0 di sini hari ini.
Saifuddin berkata, keberadaan anggota polis di sekolah bukan seperti singgah dan menandatangani buku lawatan tetapi sebaliknya kali ini mereka perlu terlibat sama dalam aktiviti sekolah.
“Sekarang ini memang sudah ada penglibatan polis melalui Jabatan Siasatan Jenayah dan Keselamatan Komuniti di sekolah cuma kali ini bahagian ini khususnya kena tampil dengan lebih kreatif membantu pihak sekolah,” ujarnya.
Katanya, pihak polis perlu menyusul dengan kekerapan jadual lawatan selain kena ada hubungan yang lebih rapat dengan pihak sekolah kerana itu berbeza dengan melawat dan singgah sahaja.
Selain itu katanya, pemeriksaan lebih teratur akan dilaksanakan di samping polis akan membantu memberi khidmat nasihat bagi pelajar yang menghadapi masalah disiplin.-UTUSAN