KUALA LUMPUR: Deklarasi Kuala Lumpur menjadi simbol komitmen berterusan rantau Asia Tenggara terhadap keamanan, kestabilan dan kemakmuran bersama.
Penyerahan dokumen disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kepada Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn selepas berakhir Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-19 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Sebanyak 25 perkara telah dimuktamadkan dalam Deklarasi Kuala Lumpur antaranya memperkukuhkan kesatuan dan Kepusatan ASEAN dalam hubungan dengan rakan luar melalui ADMM-Plus bagi membina kepercayaan dan keyakinan serta mengukuhkan seni bina serantau yang terbuka, telus, berdaya tahan, inklusif dan berasaskan peraturan dengan ASEAN.
Selain itu, menyambut baik pemuktamadan awal Kod Tata Laku (COC) Laut China Selatan yang efektif dan substantif selaras undang-undang antarabangsa termasuk UNCLOS 1982 serta memuji langkah membina keyakinan sedia ada seperti Kod bagi Pertemuan Tidak Dirancang di Laut (CUES), Garis Panduan bagi Pertemuan Ketenteraan Udara (GAME) dan Garis Panduan bagi Interaksi Maritim (GMI).
“Infrastruktur Komunikasi Langsung ASEAN (ADI) dan lain-lain di bawah rangka kerja Deklarasi mengenai Tatakelakuan Pihak-Pihak di Laut China Selatan (DOC) yang boleh mengurangkan ketegangan dan risiko salah anggap serta salah kalkulasi.
“Menekankan kepentingan mengekalkan keamanan, keselamatan, kestabilan, keselamatan dan kebebasan pelayaran serta penerbangan di Laut China Selatan serta keperluan meningkatkan kepercayaan, mengelak tindakan boleh memburukkan keadaan dan menyelesaikan pertikaian secara aman mengikut undang-undang antarabangsa termasuk UNCLOS 1982,” kata deklarasi tersebut.
Selain itu, deklarasi mengiktiraf usaha ASEAN dan keputusan pemimpin ASEAN berkaitan pelaksanaan Lima Perkara Konsensus (5PC) bagi memulihkan keamanan dan kestabilan serta memastikan peralihan aman ke arah normalisasi di Myanmar dan mengulangi keperluan pelaksanaan penuh 5PC.
“Mengalu-alukan kenyataan bersama Menteri-menteri Pertahanan ASEAN mengenai kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI) sektor pertahanan yang dipersetujui pada 26 Februari 2025 untuk meningkatkan keupayaan kolektif dalam AI dan menunjukkan peranan proaktif ADMM menangani cabaran keselamatan bukan tradisional,” katanya.-UTUSAN











