KUALA NERUS: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersikap lebih telus dalam proses rayuan terhadap keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung isu yang membabitkan badan induk bola sepak negara itu.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim berkata, pihaknya berharap FAM dapat segera menyelesaikan proses rayuan dengan mematuhi sepenuhnya semua garis panduan ditetapkan FIFA.
“Kita harap FAM dapat segera menyelesaikan proses rayuan dan memastikan setiap langkah yang diambil selaras dengan kehendak FIFA,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Sukan Negara peringkat negeri di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini, hari ini.
Menurut beliau, ketelusan amat penting bagi mengelak sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan keyakinan penyokong dan menggugat ekosistem bola sepak negara.
Beliau berkata, para peminat dan pendukung Harimau Malaya berhak mendapat maklumat yang jelas berhubung perkara itu bagi mengelakkan kekeliruan dan persepsi negatif terhadap pengurusan bola sepak tanah air.
“Kita juga harap FAM bersikap telus dan menyampaikan maklumat tepat kepada masyarakat supaya tidak timbul sebarang spekulasi yang boleh mengganggu pembangunan sukan ini. Kita ambil pendekatan terbuka dalam hal ini tetapi berharap semua pihak yang terlibat dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh integriti,” ujarnya. – UTUSAN










