Kawal ketirisan, bukan perkenal cukai baharu – PM

Kawal ketirisan, bukan perkenal cukai baharu – PM

ANWAR Ibrahim ketika hadir pada majlis perjumpaan dengan warga JPM, di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan memilih untuk mengekang ketirisan hasil negara akibat rasuah dan penyeludupan sebagai langkah utama menambah pendapatan negara, berbanding memperkenalkan cukai baharu yang hanya akan menambah beban rakyat.

Perdana Menteri berkata, pendekatan itu terbukti berkesan apabila kerajaan berjaya menjimatkan sebanyak RM15.5 bilion dalam tempoh dua tahun hasil tindakan tegas terhadap kegiatan penyeludupan, rasuah serta kelemahan tadbir urus dalam agensi kerajaan.

Menurut beliau, segala penjimatan hasil daripada usaha mengekang ketirisan dan rasuah itu membolehkan kerajaan menambah peruntukan kepada rakyat melalui program seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), bantuan pendidikan serta kenaikan gaji penjawat awam.

“Ramai tanya, dari mana datangnya duit tambahan ini? Jawapannya mudah, daripada wang yang kita selamatkan. Wang rakyat yang dulunya bocor kerana rasuah dan penyelewengan, kini kembali kepada rakyat.

“Kita bayangkan, dua tahun kita dapat selamatkan RM15.5 bilion. Itu bukan angka kecil, hasil daripada kita kawal rasuah, kawal penyeludupan dan ketirisan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Anwar berkata, kejayaan itu membuktikan peningkatan hasil negara tidak semestinya datang melalui kenaikan cukai, sebaliknya melalui pentadbiran yang berintegriti dan cekap.

Menurut beliau, tindakan berani kerajaan menghapuskan monopoli dan campur tangan kartel dalam beberapa sektor termasuk kawalan harga ayam serta subsidi elektrik turut menyumbang kepada penjimatan besar hasil negara.

“Sebelum kita fikir nak naikkan cukai yang membebankan rakyat, kita kena betulkan dulu kelemahan dalam sistem dan pelaksanaan. Apakah kita kawal rasuah, kawal penyeludupan? Itu asas kepada kecekapan kerajaan,” tegasnya.

“Kita ambil langkah tegas. Dalam isu harga ayam misalnya, apabila kartel cuba mengawal pasaran, kerajaan segera bertindak dengan membenarkan import ayam dari Thailand. Langkah itu sahaja menjimatkan RM1.1 bilion setahun,” jelasnya.

Perdana Menteri turut menegaskan, perjuangan menentang rasuah dan penyelewengan bukan tugas mudah kerana melibatkan kepentingan besar, termasuk dalam kalangan individu berpengaruh.

“Saya tahu bukan semua senang dengan ketegasan ini. Orang yang kaya kerana rasuah, penyeludupan atau hidup atas subsidi palsu, tentu tak senang dengan usaha kita. Tapi saya tidak akan undur,” katanya.

Mengulas langkah rasionalisasi subsidi bahan api, Anwar berkata, kerajaan memilih pendekatan berhemah dengan menurunkan harga RON95 untuk rakyat tempatan, namun pada masa sama memperkenalkan mekanisme kawalan bagi kenderaan asing.

“Kita turunkan harga untuk rakyat, tetapi bagi warga asing dan kenderaan luar, mereka perlu bayar pada kadar sebenar. Kita jangka masih boleh jimat antara RM2.5 hingga RM3 bilion setahun,” ujarnya.

Anwar dalam nada tegas mengingatkan penjawat awam supaya tidak hanya membebankan badan penguat kuasa dalam tugas mengawal rasuah dan salah guna kuasa.

Katanya, mana-mana ketua-ketua jabatan yang tahu dan menjadi pelindung kepada kegiatan itu tidak boleh dipertahankan. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN