MELAKA: Rangka kapal kayu berusia antara 800 hingga 900 tahun yang struktur dan saiznya hampir menyamai kapal legenda Mendam Berahi ditemukan di tapak ekskavasi di Pulau Melaka di sini.
Penemuan itu menjadi detik bersejarah buat dunia arkeologi apabila ia disahkan sebagai antara penemuan kapal tertua di negara ini dan dipercayai milik Kesultanan Melayu Melaka.
Tapak ekskavasi berkeluasan 12 kali 12 meter itu kini memasuki fasa ketiga kerja-kerja penyelamatan dijalankan Jabatan Warisan Negara (JWN) bersama kerajaan negeri menerusi Perbadanan Muzium Melaka (Perzim).
Lebih menarik, hasil ujian pentarikhan saintifik terhadap sampel kayu yang dihantar ke makmal Beta Analytic, Amerika Syarikat (AS) menunjukkan usia kayunya dianggarkan dari abad ke-13, hampir menyamai catatan sejarah rasmi penubuhan Melaka sekitar 1262.
Timbalan Pesuruhjaya JWN, Ruzairy Arbi berkata, penemuan itu antara yang terbesar dan paling signifikan di Malaysia kerana struktur dan saiznya hampir menyamai Mendam Berahi yang sering dikaitkan dengan keagungan Melaka.
“Kami dapati dua sampel kayu yang diuji menunjukkan pentarikhan antara tahun 1200 hingga 1300, sekali gus membuktikan kapal ini dibina jauh lebih awal daripada kehadiran kuasa penjajah.
“Saiz kapal ini sangat besar antara 50 hingga 70 meter panjang, jauh lebih besar daripada kapal yang pernah ditemui sebelum ini seperti Pontian Boat di Pahang,” katanya dalam sidang akhbar di tapak ekskavasi hari ini.
Ruzairy berkata, kapal berkenaan dibina daripada kayu pokok saga dan merbau, dua spesies kayu tempatan yang biasa digunakan masyarakat Nusantara, sekali gus menolak kemungkinan ia kapal asing atau penjajah.
“Kajian menunjukkan kayu yang digunakan berciri tempatan, menandakan kapal ini dibina oleh tangan-tangan Melayu sendiri dan menggambarkan kehebatan teknologi perkapalan Melaka pada zamannya.
“Antara artifak lain yang ditemui termasuk duit syiling zaman Sultan Mahmud Shah dan serpihan porselin, menunjukkan kapal ini berkemungkinan ia milik pembesar kesultanan dan bukan kapal dagangan biasa,” katanya.
Ruzairy berkata, fasa pertama ekskavasi dijalankan pada 2020 diikuti fasa kedua oleh Perzim setahun kemudian dan diteruskan oleh JWN dengan peruntukan RM200,000 daripada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).
Rangka itu akan dipindah dan dipamerkan kepada awam oleh Perzim selepas proses konservasi selesai, bagi membolehkan masyarakat dan pelancong menyaksikan sendiri kehebatan teknologi maritim Melaka. – UTUSAN










