Kapal Conscience belum masuk zon kuning

Kapal Conscience belum masuk zon kuning

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kapal Conscience yang membawa seramai lapan sukarelawan Malaysia menerusi misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) bersama Thousand Madleens to Gaza (TMTG) belum lagi memasuki zon kuning

Wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Jalil memberitahu, kapal yang dinaiki mereka bergerak agak perlahan kerana masih menunggu kapal-kapal kecil lain di belakang.

“Kapal kami dijangka memasuki ke zon kuning dalam tempoh beberapa hari akan datang. Kapal juga bergerak agar perlahan sekitar empat knot sahaja kerana masih menunggu sembilan kapal layar lain yang bersaiz agak kecil, selain cabaran angin yang bertiup kencang,” katanya kepada Utusan Malaysia, hari ini.

Disoal perasaan melihat 23 sukarelawan Malaysia yang ditahan tentera Israel semasa menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF), dia berkata, insiden itu langsung tidak menimbulkan kegentaran buat dirinya.

Malah, katanya, beliau lebih bersemangat untuk meneruskan pelayaran dan berharap misi menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza tercapai.

“Alhamdulillah, saya menaiki kapal ini bersama individu yang pernah menyertai flotilla sebelum ini. Dr. Fauziah merupakan figura penting dalam misi pelayaran ini.

“Setiap hari kami diberikan suntikan motivasi dan segala persediaan seandainya berdepan ancaman kelak. Semangat kami sangat luar biasa sekarang,” katanya.

Kapal yang dinaiki oleh sembilan delegasi Malaysia itu kini berada kira-kira 350 batu nautika dari perairan pantai Gaza.

Misi pelayaran sembilan kapal FFC membawa lebih 150 peserta dari 25 negara, termasuk pakar perubatan, wartawan antarabangsa dan aktivis keamanan.

Daripada jumlah itu, lapan delegasi Malaysia berlayar dengan Conscience, manakala seorang lagi aktivis, Dr. Maziah Muhammad, berada di Umm Saad bersama tujuh kapal kecil lain.

Delegasi Malaysia diketuai Prof. Emeritus Dr. Mohd Alauddin Mohd Ali dan tiga doktor perubatan, Dr. Fauziah Mohd. Hassan, Dr. Hafiz Sulaiman dan Dr. Ili Syakira Mohd. Suhaimi serta dua pensyarah universiti, Profesor Dr. Mohd. Afandi Salleh dan Dr. Noorhasyimah Ismail.

Turut sama ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar dan Syafik Shukri.

Kapal Conscience memberi tumpuan kepada penghantaran bantuan perubatan dan makanan bayi bernilai RM500,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN