KADAR pengangguran dijangka kekal 3.0 peratus pada 2026 dengan jumlah guna tenaga diunjur berkembang sebanyak 2.3 peratus kepada 17.2 juta orang, menurut Tinjauan Ekonomi 2026.
Jelasnya, unjuran itu dipacu oleh pewujudan pekerjaan dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan yang dijangka menyumbang lebih 80 peratus daripada jumlah keseluruhan guna tenaga.
“Pasaran buruh dijangka kekal optimistik pada 2026 didorong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan dan pertumbuhan berterusan dalam sektor utama ekonomi.
“Pertumbuhan ini juga disokong oleh lonjakanaktiviti pelancongan berikutan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dan pelaksanaan pelaburan awam yang strategik di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
“Penerusan pembaharuan struktural khususnya berkaitan mekanisme penetapan gaji dan usaha menambah baik persekitaran pekerjaan dijangka menggalakkan lebih banyak penyertaan tenaga buruh dan meningkatkan kesejahteraan pekerja.
“Walaupun ketidaktentuan dalam perdagangan global masih berterusan dan berpotensi menjejaskan penggajian pekerja dalam industri berorientasikan eksport dan komoditi, namun pertumbuhan kukuh dalam sektor berorientasikan domestik dijangka mengekalkan pertumbuhan guna tenaga dan gaji,” katanya.
Sementara itu, tinjauan itu menunjukkan bilangan pekerja asing berkemahiran rendah dijangka berkurang pada 2026.
“Ini disebabkan oleh kawalan ketat terhadap kelulusan permohonan kuota pekerja asing mengikut kes-kes tertentu bagi sektor yang diluluskan seperti pertanian, pembinaan dan industri perkhidmatan terpilih.
“Kerajaan juga kekal komited mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dengan mengehadkan siling penggajian sedia ada iaitu 15 peratus kepada 10 peratus daripada jumlah guna tenaga seperti digariskan dalam RMK13.
“Pelaksanaan mekanisme levi pelbagai peringkat pada 2026 juga dijangka terus mendorong industri beralih ke arah mekanisasi dan automasi, sekali gus mengurangkan permintaan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah.
“Sementara itu, permintaan berterusan terhadap tenaga kerja dalam ekonomi akan dipenuhi melalui pelaburan yang lebih besar dalam automasi dan peningkatan kemahiran pekerja tempatan untuk menyokong pertumbuhan produktiviti,” katanya.
Tambahnya, produktiviti buruh dijangka meningkat sebanyak 2.0 peratus kepada RM103,700 pada 2026, terutamanya disokong oleh perkembangan dalam sektor pembinaan dan perkhidmatan.
“Pertumbuhan ini akan disokong lagi melalui usaha berterusan untuk mengukuhkan program pembangunan kemahiran, sejajar keperluan industri di samping pelaburan lebih besar dalam transformasi digital dan mekanisasi bagi mempercepat penggunaan teknologi merentas industri.
“Selain itu, strategi menambah baik kawal selia dan tadbir urus melalui pendigitalan dijangka dapat memperkemas penyampaian perkhidmatan dan mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih cekap dan produktif,” ujarnya. – UTUSAN










