PETALING JAYA: Penyanyi tersohor Indonesia, Afgan muncul dengan single terbaharu yang berjudul, Kacamata sekali gus menjadi lagu pembuka tirai album ketujuhnya, Retrospektif.
Menurut Afgan, album Retrospektif dihasilkan sebagai perjalanan pulang ke akar muzik ketika di awal kemunculannya yang sinonim menerusi lagu Pop dan diperkaya dengan elemen R&B moden dan produksi muzik yang lebih kontemporari.
“Bagi saya, Kacamata sangat mewakili era itu. Selama 15 tahun berkarya, saya dikenali dengan imej berkaca mata dan lagu-lagu pop, jadi secara simbolik, single ini amat tepat untuk membuka tirai album baharu saya,” katanya.
Selepas tujuh tahun tidak mengeluarkan album, Retrospektif menjadi simbol kembalinya Afgan dalam menghasilkan lagu-lagu dalam bahasa Indonesia.
Afgan yang sebelum ini pernah menghasilkan dua album yang menampilkan lagu-lagu berbahasa Inggeris kini kembali dengan sentuhan pop Indonesia yang lebih segar, matang dan berjiwa lokal.
Kacamata berkisarkan tentang seseorang yang sanggup mengubah diri dan sudut pandangnya demi cinta, akhirnya menyedari bahawa semua pengorbanan itu sia-sia kerana diberikan kepada insan yang salah.
Lagu itu juga menjadi metafora tentang kehilangan jati diri, pengkhianatan terhadap diri sendiri, serta makna sebenar cinta yang tulus.
Afgan mengakui tidak sabar untuk memperkenalkan karya ini kepada pendengar dan pencinta muzik yang sudah lama merindukan warna muzik asalnya.
Tambah Afgan, dia tidak sabar untuk memperkenalkan buah tangan baharunya itu kepada peminat yang sudah lama merindukan warna muzik asalnya menerusi lagu yang sarat dengan mesej mendalam.
“Jangan terlalu berharap pada manusia, kerana satu-satunya yang boleh kita sandarkan hanyalah Tuhan. Lagu ini ibarat peringatan untuk kita semua agar tidak kehilangan diri sendiri ketika berhadapan dengan kekecewaan.
“Dengan ritma yang ringan dan lirik yang mudah diingati, Kacamata ialah lagu yang memberi rasa positif sekali gus membuat pendengar tersenyum di tengah kegalauan, menyedarkan kita bahawa hidup tak selamanya berat, dan mengajak kita menikmati setiap fasa kehidupan,” katanya.
Dalam masa sama, lagu ini juga merupakan hasil kerjasama penyanyi itu bersama tiga pemuzik berbakat iaitu Iqbal Siregar, Petra Sihombing, dan Kamga Mohammed.
“Iqbal membawa idea awal berupa melodi yang menarik untuk bahagian korus, yang kemudian dikembangkan bersama hingga siap dalam tempoh hanya dua jam.
“Petra bertindak sebagai penerbit dan komposer, manakala Kamga turut berperanan sebagai pengarah vokal di samping menjadi komposer bersama.
“Proses rakaman lagu ini berlangsung pantas namun teratur yang mana sesi rakaman vokal diselesaikan dalam setengah hari, manakala keseluruhan produksi muzik termasuk proses ‘mixing’ dan ‘mastering’ disiapkan dalam tempoh sekitar dua bulan,” katanya.
Selain itu, muzik video Kacamata diarahkan oleh Shadtoto Prasetio dan menampilkan konsep visual bernuansa nostalgia era 90-an minimalis dengan sentuhan moden yang segar.
Dalam video tersebut, Afgan turut menampilkan pelakon, Yuki Kato menerusi adegan permainan catur iaitu simbol perjalanan cinta yang penuh strategi, langkah maju, undur, pertahanan dan pengorbanan.
Menariknya, lagu ini turut menonjolkan permainan gitar sebagai elemen utama, berbeza daripada kebanyakan karya Afgan terdahulu yang lebih berteraskan piano dan orkestra.
Kacamata sudah boleh didengarkan di semua platform penstriman digital bermula 10 Oktober 2025 manakala album penuhnya, Retrospektif, bakal dilancarkan pada November 2025.-UTUSAN