PETALING JAYA: Pelakon dan aktivis kemanusiaan, Ardell Aryana, mendedahkan kapal yang dinaikinya bersama delegasi Global Sumud Flotilla (GSF) telah dipintas oleh tentera Israel sekitar pukul 2 pagi, pada Khamis.
Menerusi satu siaran langsung yang sempat dikongsikan di media sosial, Ardell atau Nurul Hidayah Mohd. Amin, 35, berkongsi detik cemas apabila radio kapal mereka diganggu dengan suara dipercayai milik tentera Zionis yang memberikan amaran.
“Sekarang mereka pintas radio dan cakap ‘see you in jail’. Anda semua dengar tak suara mereka itu?
“Mereka sudah siapkan penjara untuk kami. Nada suara mereka sangat bongkak, jika anda dapat dengar daripada radio saya,” katanya.
Bagaimanapun, keadaan menjadi semakin tegang apabila kapal mereka didekati oleh aset tentera Israel tidak lama selepas gangguan komunikasi tersebut berlaku.
“Mereka sudah datang, semuanya akan baik-baik sahaja, Allah bersama kami. Kami serahkan segalanya kepada Allah,” tambahnya.
Malah, menurut Ardell, semua peralatan tajam seperti pisau memasak dan garfu telah dibuang lebih awal sebagai langkah keselamatan serta membuktikan bahawa misi kemanusiaan yang dibawa mereka tidak melibatkan sebarang unsur ancaman bersenjata.
Namun begitu siaran langsung Ardell tiba-tiba terhenti sekitar pukul 2.20 pagi tadi.
Terdahulu, komvoi Global Sumud Flotilla yang membawa misi kemanusiaan bagi membantu rakyat Palestin dilaporkan berjaya melepasi zon merah pada pukul 9.40 malam, Rabu lalu.
Misi itu disertai aktivis antarabangsa termasuk dari Malaysia, dengan tujuan menghantar bantuan bekalan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas kepada penduduk Gaza yang kini berdepan krisis kemanusiaan kritikal akibat tindakan ketenteraan rejim Zionis. – UTUSAN