PETALING JAYA: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga buah negeri di utara tanah air terus mencatatkan peningkatan kepada 5,887 orang.
Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat pukul 12 tengah hari, Perak mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu seramai 2,975 orang daripada 1,011 keluarga yang telah dipindahkan ke 26 buah PPS.
Empat buah daerah terjejas iaitu Larut, Matang dan Selama (LMS), Manjung, Perak Tengah dan Kerian.
Daerah LMS mencatatkan jumlah tertinggi dengan 2,087 mangsa daripada 732 keluarga yang kini berlindung di 19 PPS.
Sementara itu, Kedah mencatatkan jumlah mangsa seramai 1,873 daripada 588 keluarga yang dipindahkan ke 14 buah PPS.
Empat buah daerah telah terjejas iaitu Kulim, Baling, Pokok Sena dan Kuala Muda.
Daerah Kulim mencatatkan jumlah tertinggi dengan 1,485 mangsa daripada 450 keluarga yang ditempatkan di lapan PPS.
Bagi Pulau Pinang pula, jumlah mangsa turut mencatatkan peningkatan dengan 1,029 mangsa daripada 280 keluarga yang telah dipindahkan ke tujuh PPS.
Tiga daerah dilaporkan terjejas iaitu Seberang Perai Utara (SPU), dua di Seberang Perai Tengah (SPT), dan satu di Barat Daya di bahagian pulau
SPU mencatatkan jumlah tertinggi dengan empat buah PPS telah dibuka untuk menempatkan seramai 780 mangsa dari 212 keluarga.
Dalam pada itu, laman sesawang Public Infobanjir mengeluarkan amaran banjir di daerah Langkawi, yang dijangka menjejaskan kawasan rendah dalam radius lima kilometer di sekitar Sungai Melaka, Kampung Padang Mat Sirat antara 4 pagi hingga 6 petang hari ini.
Empat sungai di Kedah dilaporkan melepasi paras bahaya, iaitu Sungai Pendang di Pendang (3.26 meter), Sungai Chepir di Sik (36.7 m), Sungai Ketil di Kampung Bongor, Baling (60.8 m) dan Sungai Titi Kerbau di Pendang (7 m).
Dua lagi sungai berada pada paras waspada, iaitu Sungai Nawa di Pokok Sena (9.97 m) dan Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Kota Setar (2.1 m). – UTUSAN










