CAMERON HIGHLANDS: Keadaan bilik sempit, kotor dan daif. Itu gambaran penginapan pekerja asing yang ditemui dalam serbuan di sebuah tapak pembinaan di kawasan Brinchang di sini hari ini.
Lokasi berkenaan merupakan satu daripada sembilan premis yang diperiksa dalam Operasi Bersepadu Pasukan Khas Penguatkuasa Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di sekitar kawasan tanah tinggi itu.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JTKSM, Betty Hasan berkata, berdasarkan pemeriksaan, penginapan yang disediakan majikan untuk pekerja warga asing tidak kondusif, bercampur jantina serta gagal menyediakan kemudahan asas yang sepatutnya.
Katanya, semakan mendapati kesemua premis yang diperiksa itu tidak mempunyai perakuan penginapan sekali gus melakukan kesalahan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446].
“Setiap perakuan penginapan mesti memenuhi standard tertentu yang perlu dipatuhi majikan. Apabila mereka membuat permohonan, pihak kami akan melakukan pemeriksaan terlebih dahulu sebelum perakuan boleh dikeluarkan.
“Jika lihat keadaan penginapan pekerja tadi, sudah tentu Jabatan Tenaga Kerja (JTK) tidak akan meluluskan perakuan kerana keadaan yang daif serta tidak mencukupi syarat dari segi kelengkapan dan keselamatan pekerja.
“Kemudahan asas juga jelas tidak diberi perhatian oleh majikan. Hal-hal seperti ini yang perlu dipastikan pematuhannya agar kebajikan pekerja sentiasa terpelihara tanpa mengira sama ada mereka pekerja tempatan atau pekerja asing,” katanya ketika ditemui di sini hari ini. . – UTUSAN