JPJ boleh jana RM115 juta, jika nombor daftar kenderaan tak dijual harga rendah

JPJ boleh jana RM115 juta, jika nombor daftar kenderaan tak dijual harga rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETAING JAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berpotensi menjana hasil tambahan sekurang-kurangnya RM115 juta sekiranya nombor pendaftaran kenderaan yang disekat dan nombor tidak aktif ditawarkan semula kepada orang awam dengan harga minimum.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 mendedahkan semakan audit mendapati sebanyak 134 nombor pendaftaran yang disekat telah ditawarkan di bawah harga minimum antara tahun 2022 hingga 2024.

Berdasarkan peraturan, harga minimum ditetapkan antara RM300 hingga RM20,000, manakala bagi kategori Nombor Baki Popular harga minimumnya ialah RM500 dengan fi perkhidmatan RM10 dikenakan bagi setiap nombor.

Semakan audit selanjutnya mendapati asas penetapan harga yang ditawarkan bagi Nombor Baki kategori Popular tidak seragam antara JPJ Negeri.

“Hanya JPJ Perak sahaja yang menawarkan pada harga minimum RM500. Sebaliknya, bagi JPJ Ibu Pejabat dan JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), harga yang ditawarkan adalah berdasarkan harga pasaran dan harga minimum RM500. JPJ Johor pula menetapkan berdasarkan harga pasaran, manakala JPJ Sabah pada harga RM600,” katanya dalam kenyataan hari ini.

LKAN memaklumkan secara keseluruhannya, hasil yang dikutip melalui penjualan nombor pendaftaran kenderaan dari 2022 hingga 2024 adalah berjumlah RM1.648 bilion.

Jelasnya, kelulusan telah diberikan oleh Ketua Pengarah JPJ berdasarkan pengiraan audit, dengan anggaran tambahan hasil yang boleh dikutip adalah berjumlah RM795,150.

LKAN berkata, semakan audit selanjutnya mendapati berdasarkan data yang dikemukakan oleh Bahagian Teknologi Digital JPJ, sebanyak 375,792 nombor pendaftaran yang tidak aktif masih tidak terjual setakat tahun 2024.

“Berdasarkan pengiraan audit, sekiranya nombor pendaftaran tidak aktif dapat dijual pada harga minimum RM300, JPJ boleh memberi nilai tambah kepada hasil sedia ada sekurang-kurangnya sebanyak RM112.73 juta,” katanya.

JPJ menerusi maklum balas yang diterima pada 24 Jun dan 21 Julai lalu, menjelaskan pembelian atau bayaran yang dibuat telah menjadi hasil kepada kerajaan walaupun nombor tersebut telah tamat tempoh.

Katanya, asas pertimbangan yang dibuat adalah selaras dengan kuasa yang diperuntukkan kepada Ketua Pengarah JPJ di bawah Seksyen 3 Akta 333 yang menyatakan Ketua Pengarah mempunyai pengawasan dan arahan am bagi segala perkara berhubung dengan pengangkutan jalan di seluruh negara.

“Penawaran harga bagi permohonan Nombor Baki kategori Popular di JPJ Negeri yang berkaitan dilaksanakan bagi memenuhi permintaan tinggi dalam kalangan orang awam terhadap nombor pendaftaran yang unik di samping menyokong penjanaan hasil serta memperkemas proses penyampaian perkhidmatan di peringkat jabatan,” katanya.

Bagi mengatasi kelemahan dibangkitkan dan memastikan perkara sama tidak berulang pada masa hadapan, JPJ disyorkan melaksanakan beberapa penambahbaikan antaranya memastikan nombor yang tidak aktif ditawarkan kepada umum dan mengunci masuk harga minimum nombor pendaftaran mengikut kategori seperti ditetapkan dalam arahan jabatan melalui tetapan dalam sistem mySIKAP, bagi membolehkan hebahan lebih meluas kepada orang awam seterusnya meningkatkan kutipan hasil JPJ.

Audit turut mencadangkan JPJ menyemak semula Prosedur Operasi Standard (SOP) dan memperkemas bidang kuasa Jawatankuasa Nombor Pendaftaran (JKNP) bagi memastikan hasil dapat dikutip secara maksimum serta mengelakkan sebarang ketirisan pada masa depan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN