Jemputan Trump atas dasar Malaysia Pengerusi ASEAN

Jemputan Trump atas dasar Malaysia Pengerusi ASEAN

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akhir bulan ini bukan dibuat atas jemputan dua hala oleh kerajaan Malaysia.

sebaliknya, ia adalah jemputan rasmi di bawah kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Trump sebagai ketua negara yang merupakan rakan dialog kepada ASEAN.

“Tahun ini, Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN, maka menjadi tanggungjawab kita untuk menjemput semua ketua negara bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan ke-47 yang mana sidang ke-46 telah berlangsung, manakala sidang ke-47 dijadualkan pada 27 dan 28 Oktoberini.

“Malaysia hanyalah tuan rumah, sedangkan persidangan ini adalah ‘kenduri’ (program rasmi) ASEAN, bukannya ‘kenduri’ Malaysia semata-mata,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) di sini, hari ini.

Katanya, selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia menjemput semua ketua negara yang berkaitan, malah tidak wajar untuk memilih atau mengecualikan mana-mana pihak kerana ia bukan satu amalan diplomatik yang baik.

Mohamad berkata, ASEAN harus dilihat sebagai satu kumpulan negara yang mengamalkan dasar berkecuali dan ini kekuatan teras ASEAN iaitu ‘ASEAN Centrality’ iaitu berpaksikan kepada dasar berkecuali.

“Dasar berkecuali inilah yang menjadi kekuatan utama ASEAN, termasuk Malaysia sebagai negara anggota. ASEAN terbina atas dasar rantau yang bebas, aman dan berkecuali.

“Maka, semua ketua negara rakan dialog dijemput dan jika mereka memilih untuk hadir, tidak wajar pula kita menolak kehadiran mereka,” katanya.

Sebelum ini, beberapa pihak termasuk pertubuhan masyarakat dilapor menyuarakan bantahan terhadap kehadiran Trump ke Malaysia susulan dasar luar negara itu terhadap Asia Barat dan Palestin.

Antara yang menyuarakan bantahan termasuk Pemuda UMNO dan mereka mahu Malaysia membatalkan jemputan Trump sekiranya semua aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) terutama rakyat Malaysia tidak dibebaskan Israel.

Menerusi hantaran di laman sosial, Ketua Pemuda, Datuk Dr Akmal Saleh menegaskan, sekiranya jemputan itu tidak dibatalkan, Pemuda UMNO seluruh negara akan membuat bantahan besar-besaran semasa lawatan Trump ke Kuala Lumpur hujung bulan ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN