PUTRAJAYA: Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam mahu kerjasama strategik antara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dalam usaha memperkukuh penggunaan teknologi terkini dalam operasi penyelamatan.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, antara perkara yang memerlukan tumpuan termasuk penyelenggaraan jentera cakera putar (turntable ladder) serta kajian untuk meningkatkan ketahanan dan kecekapan bateri peralatan operasi bomba.
“Tun berpandangan, dengan adanya kolaborasi antara Bomba dan UTeM, kita dapat menambah baik jentera sedia ada dan
bagaimana kita nak mempertingkatkan daya tahan dan keupayaan bateri supaya ia dapat digunakan lebih lama,” katanya kepada pemberita selepas Lawatan Kerja Rasmi Yang Dipertua Negeri Melaka di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Nor Hisham berkata, Tun Mohd. Ali turut mencadangkan supaya pendidikan keselamatan kebakaran diperluas ke sekolah tahfiz, tanpa mengira status pendaftaran institusi berkenaan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Tun menekankan bahawa aspek keselamatan nyawa perlu didahulukan berbanding isu lain seperti kesihatan atau kebersihan,” katanya.
Beliau menambah, walaupun terdapat sekolah tahfiz yang belum berdaftar, JBPM tetap akan melaksanakan latihan dan pendidikan keselamatan kebakaran bagi memastikan semua pihak memahami prosedur pencegahan serta tindakan kecemasan.
“Setakat ini, daripada 98 sekolah tahfiz di seluruh Melaka, sebanyak 23 buah telah menerima latihan keselamatan kebakaran daripada JBPM.
“Program itu akan diteruskan secara berperingkat bagi memastikan semua institusi mendapat pendidikan berterusan,” katanya. – UTUSAN