JBPM perkenal garis panduan baharu tangani kebakaran kenderaan elektrik

JBPM perkenal garis panduan baharu tangani kebakaran kenderaan elektrik

Nor Hisham Mohammad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memperkenalkan garis panduan khas operasi kebakaran kenderaan elektrik (EV) bagi memperkukuh kesiapsiagaan anggota menghadapi risiko teknologi pengangkutan itu.

Ketua Pengarah, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, panduan tersebut merangkumi dua aspek utama iaitu keselamatan tempat pengecasan (charging bay) dan tatacara operasi pemadaman kebakaran EV.

“Setakat ini, JBPM merekodkan dua kes kebakaran membabitkan EV, termasuk satu kes disyaki berpunca daripada perbuatan khianat.

“Walaupun jumlah kes kebakaran EV masih rendah, JBPM mengambil langkah proaktif memastikan semua anggota bersedia menghadapi situasi berisiko tinggi melibatkan bateri litium,” katanya selepas Lawatan Kerja Rasmi Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam, ke Ibu Pejabat JBPM di sini hari ini.

Justeru, katanya, JBPM telah melatih lebih 100 pegawai sebagai jurulatih utama (master trainer) yang akan menurunkan latihan kepada anggota di seluruh balai.

Menurutnya, JBPM juga telah memperolehi peralatan khas seperti ‘fire blanket’ untuk lebih bersiap sedia memadamkan kebakaran bateri EV.

“Selain itu, JBPM turut menjalankan ujian bersama pihak pengeluar kenderaan Porsche bagi menilai keberkesanan peralatan pemadaman yang digunakan terhadap jenis bateri litium,” katanya.

Nor Hisham menjelaskan, cabaran utama dalam menangani kebakaran EV ialah apabila kejadian berlaku di kawasan tertutup seperti parkir bawah tanah (parkir bertingkat) yang menyukarkan proses mengeluarkan kenderaan selepas kebakaran dipadamkan.

“Bateri EV boleh mencetuskan semula api walaupun selepas 70 hingga 72 jam dipadamkan kerana ia terbakar secara berperingkat mengikut komponen bateri. Itu sebab kita perlu ada tatacara selamat untuk keluarkan kenderaan dengan segera,” katanya.

Tambah beliau, JBPM kini turut meneliti kemungkinan risiko baharu apabila permintaan bateri terpakai meningkat, termasuk isu penyimpanan dan pembelian bateri terpakai yang boleh mendatangkan bahaya jika tidak dikawal dengan ketat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN