PETALING JAYA: Rakyat Sabah tidak seharusnya lagi terpedaya dengan slogan ‘Sabah for Sabahan’ atau perjuangan parti tempatan yang sering dijadikan umpan politik oleh sesetengah pihak.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, slogan tersebut hanyalah helah politik apabila sehingga kini wujud sekurang-kurangnya 10 parti tempatan, namun tiada satu pun mampu bersatu.
Katanya, perebutan kerusi dan pengaruh antara parti-parti tempatan membuktikan perjuangan mereka bukan untuk rakyat tetapi lebih kepada kepentingan kuasa.
“Kalau benar mereka perjuangkan hak Sabah, mengapa begitu banyak parti tempatan tetapi tidak satu pun bersatu? Hakikatnya mudah, semua mahu berkuasa, bukan berkhidmat.
“Kita sudah lihat bagaimana Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang kononnya parti tempatan gagal membela rakyat, malah dibelenggu dengan video yang mencemarkan integriti pentadbiran negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 pada 29 November ini.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon ditetapkan pada 15 November manakala tarikh mengundi awal pula pada 25 November.
Bung Moktar menegaskan, UMNO dan BN Sabah berpendirian tegas bahawa negeri ini tidak memerlukan 10 parti untuk memperjuangkan rakyat, sebaliknya memerlukan satu hala tuju yang jujur, stabil dan berpaksikan kepentingan rakyat.
“Slogan ‘Sabah for Sabahan’ dan parti tempatan akhirnya hanya jadi perisai untuk menutup kelemahan dan tamak kuasa.
“Cukuplah Sabah menjadi mangsa slogan politik. Rakyat tidak mahu laungan kosong, sebaliknya mahu kepimpinan yang bersih, berani dan berkhidmat,” katanya. – UTUSAN










