PETALING JAYA: Syarat baharu kesihatan musim Haji 1447H/2026M perlu ditimbang semula agar ia tidak terlalu ketat dalam menilai tahap kesihatan bakal jemaah bagi memastikan lebih ramai umat Islam di negara ini berpeluang menunaikan rukun Islam kelima tanpa sekatan.
Presiden Persatuan Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Selangor (SAFFTA), Dr. Fathir Badri Alhadad berkata, penilaian kesihatan perlu dibuat dengan pertimbangan yang seimbang supaya tidak menafikan peluang umat Islam menunaikan haji.
“Kita berharap pihak berkuasa tidak terlalu ketat dalam penilaian kesihatan bakal jemaah sehingga menyebabkan ramai yang tidak berpeluang menunaikan ibadah haji.
“Ini selaras dengan kenyataan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi (KHUAS) yang hanya menetapkan larangan kepada pesakit kronik sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, kerajaan Arab Saudi menetapkan beberapa syarat kesihatan baharu bagi musim Haji 1447H/2026M termasuk melarang individu menghidap penyakit kronik tidak terkawal atau penyakit berjangkit daripada menunaikan ibadah haji tahun hadapan.
Antara syarat utama ditetapkan ialah jemaah mesti bebas daripada penyakit berjangkit atau penyakit kronik yang tidak terkawal serta berupaya melaksanakan ibadah haji secara kendiri tanpa bergantung kepada bantuan orang lain.
Sebaliknya, Pengarah Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia), Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, langkah kerajaan Arab Saudi melarang individu yang menghidap penyakit kronik tidak terkawal dan penyakit berjangkit daripada menunaikan ibadah haji wajar bagi memastikan keselamatan dan kesempurnaan ibadah jemaah.
Katanya, keputusan itu bertepatan dengan prinsip syariah dan asas wajib haji yang menuntut jemaah memiliki kemampuan fizikal mencukupi untuk melaksanakan ibadah.
Beliau berkata, berdasarkan pengalamannya lebih 50 tahun dalam bidang pengurusan haji dan umrah, kesihatan tubuh badan merupakan antara syarat utama dalam rukun haji selain mempunyai sumber kewangan halal, kenderaan serta tambang perjalanan yang mencukupi.
“Kesihatan amat penting kerana hampir semua ibadah di Tanah Suci memerlukan kekuatan fizikal seperti berjalan kaki ketika tawaf, sa’ie dan melontar jamrah.
“Jika seseorang itu sakit, bukan sahaja menyusahkan diri sendiri malah turut membebankan orang lain yang terpaksa membantu mereka menunaikan ibadah,” katanya.-UTUSAN










