‘Jangan hukum, hina mereka berkorban demi urusan kemanusiaan’

‘Jangan hukum, hina mereka berkorban demi urusan kemanusiaan’

23 aktivis Malaysia yang menyertai GSF selamat tiba di tanah air. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua pihak diseru agar tidak terburu-buru menghukum, menilai, apatah lagi menghina mereka yang dengan tulus ikhlas berkorban demi urusan kemanusiaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, dalam acuan agama Islam, setiap amal kebaikan adalah satu tuntutan dan haruslah disokong serta dihargai.

Beliau berkata, Malaysia lahir sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat, dengan kebebasan yang diamanahkan untuk kita menyuarakan kebenaran dan menentang kezaliman atau penjajahan dalam apa jua bentuk.

“Ini adalah tanggungjawab kita bersama sebagai pewaris kemerdekaan dan kedaulatan negara.

“Dalam perjuangan kita untuk membela rakyat, mengangkat martabat insan, dan menegakkan prinsip-prinsip keadilan, kita melihat dua pilihan jalan. Ada yang memilih jalan yang penuh fitnah dan sangka buruk (su’u zhon), tetapi ramai lagi yang istiqamah (konsisten) berbuat demi kebaikan bersama dan kebajikan ummah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, seramai 23 aktivis Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) dibebaskan oleh rejim Israel pada 4 Oktober lalu selepas ditahan secara tidak sah apabila kapal yang membawa bantuan kemanusiaan serta ubat-ubatan ke Gaza dipintas di perairan antarabangsa pada 2 Oktober lalu.

Mereka kemudiannya dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada 4 Okt lepas menggunakan pesawat komersial Turkish Airlines yang diurus dan ditaja sepenuhnya oleh kerajaan Turkiye dan kemudiannya selamat tiba di tanah air pada 7 Oktober lalu.

Mohd. Naim berkata, semua pihak diseru untuk memberikan sokong kepada mereka dengan penuh hikmah dan kasih sayang (mawaddah wa rahmah) apabila ada individu atau pihak yang sanggup menghulurkan bantuan dan berkorban.

“Inilah roh sebenar yang membentuk semangat Malaysia Madani, sebuah jiwa besar yang berpegang teguh pada nilai-nilai kemanusiaan sejagat (maqasid syariah) dan berpandangan jauh.

“Kita haruslah berpaut pada perpaduan dan bukan pada kebencian atau politik sempit yang hanya memecahbelahkan,” katanya.

Katanya, Malaysia akan terus mara ke hadapan, bukan sekadar dengan retorik atau kata-kata kosong, tetapi dengan tekad, keazaman, dan tindakan yang berlandaskan kepada nilai dan prinsip agama yang syumul serta Rukun Negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN