Insya-Allah berjumpa semula di Flotilla - Hazwani Helmi - Utusan Malaysia

Insya-Allah berjumpa semula di Flotilla – Hazwani Helmi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Kami hilang kata-kata apabila dipertemukan semula dengan keluarga.”

Demikian perkongsian penyanyi dan pelakon, Hazwani Helmi, 28, yang merupakan antara 23 delegasi misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang selamat pulang ke tanah air, semalam.

Hazwani memaklumkan dia dan kakaknya, Heliza Helmi berkongsi pelbagai perasaan apabila kepulangan mereka bersama kesemua peserta GSF Malaysia semalam, diraikan.

“Sentuhan mak ayah, itu yang membuat hati kami sebak. Ayah sapu kepala kami, ibu sebut nama Allah.

“Semasa dalam perjalanan pulang, saya sedih sebenarnya. Terkenang rakyat Palestin, terutamanya kanak-kanak yang tidak putus asa menunggu kedatangan bot-bot GSF membawa bantuan untuk mereka.

“Tapi, saya kembali bersemangat kerana melihat sambutan luar biasa penyokong misi ini sebaik sahaja kami tiba di KLIA, semalam.

“Saya berharap, asbab sokongan berterusan ini, mudah-mudahan kita dapat pecahkan kepungan Israel,” katanya.

Kesemua 23 delegasi GSF Malaysia selamat tiba di KLIA kira-kira pukul 9.50 malam.

Ratusan penyokong pula mula membanjiri perkarangan balai ketibaan lapangan terbang itu seawal pukul 8 malam.

Hazwani memaklumkan dia tidak menyangka dengan sambutan luar biasa yang mengiringi kepulangan mereka ke Malaysia.

“Kami terkejut dengan semangat dan sokongan yang ditunjukkan rakyat Malaysia. Kita buktikan yang walaupun negara kita kecil, tapi semangat kita besar untuk membebaskan bumi Palestin daripada cengkaman Israel.

“Mudah-mudahan kita menjadi contoh kepada negara lain,” kongsinya.

Dalam pada itu, Hazwani juga memaklumkan dia dan Heliza tidak serik, malah sedia menyertai misi yang sama di masa akan datang demi rakyat Palestin.

“Insya-Allah, itulah janji setia kami. Delegasi negara lain, ketika kami dalam tahanan Israel, berpesan, Insya-Allah kami berjumpa semula di Flotilla,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN