KUALA SELANGOR: Gara-gara ingin mengelak didenda atas kehilangan kad pengenalan, seorang lelaki sanggup membuat laporan polis palsu mendakwa dirinya disamun dua lelaki bermotosikal dalam kejadian di Jalan Pantai Remis, Jeram, di sini.
Bagaimanapun, tindakan suspek berusia 23 tahun yang bekerja sebagai ‘live host’ dengan menjual pakaian dan tudung di aplikasi media berjaya dibongkar pihak polis hasil soal siasat dijalankan.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada lelaki terbabit kira-kira pukul 5.03 petang.
Katanya, suspek mendakwa disamun dua lelaki bermotosikal di Jalan Pantai Remis, Jeram, di sini.
“Antara barangan yang dilaporkan hilang adalah wang tunai, kad pengenalan, kad bank dan telefon bimbit jenama iPhone 13.
“Hasil siasatan lanjut mendapati kejadian samun yang dinyatakan dalam laporan itu sebenarnya tidak berlaku,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Azaharudin, laporan polis itu dibuat suspek bagi mendapatkan kad pengenalan baharu tanpa perlu membayar denda kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Jelasnya, pemeriksaan lanjut turut mendapati barangan lain seperti kad bank, lesen memandu dan telefon bimbit masih berada dalam simpanan lelaki berkenaan.
“Justeru, satu laporan dibuat oleh polis kerana suspek membuat laporan palsu namun tiada tangkapan dilakukan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang laporan palsu.
“Ia memperuntukkan hukuman sehingga enam bulan penjara atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya. – UTUSAN









