KOTA BHARU: Pelajar tingkatan satu hingga empat di Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh dan Machang kini belajar secara pembelajaran jarak jauh atau pembelajaran di rumah (PDPR) berikutan penularan wabak influenza bermula 5 Oktober lepas.
Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidkan Daerah (PPD), Mat Lazim Mohammad berkata, bagaimanapun pelajar dan guru tingkatan lima masih berada di sekolah berkenaan dan belajar secara bersemuka dan ia dalam kawalan mengikut prosedur operasi standard (SOP).
Katanya, kes pertama dikesan di Sekolah Menengah Sains Machang pada 5 dan 6 Oktober lalu diikuti di Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh pada 7 Oktober lepas.
“Berdasarkan data yang kita peroleh baru-baru ini, seramai 51 adalah pelajar dari Sekolah Menengah Sains Machang dan lapan daripadanya tingkatan lima.
“Di Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh pula, seramai 59 pelajar dan 34 daripadanya tingkatan lima,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia sempena Edu Fan Walk Madani JPN Kelantan di Stadium Kijang Emas, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putera, Kompleks Sekolah-Sekolah Wakaf Mek Zainab di sini, semalam.
Mat Lazim berkata, berhubung wabak itu Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sentiasa melakukan pemantauan di sekolah berkenaan.
Sementara itu di Johor, terdapat sembilan kluster influenza yang dikesan di negeri ini sejak wabak itu dilaporkan semakin merebak di seluruh negara, ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon bagaimanapun berkata, keadaan di Johor terkawal dengan hanya sebuah kelas di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Permas Jaya 2, di sini ditutup sejak Rabu lalu.
Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk memastikan kes influenza dilaporkan terus bagi memastikan penularannya terkawal dan tidak merebak khususnya dalam kalangan murid-murid.
“Di peringkat kebangsaan, sebanyak 97 kluster influenza telah dikesan, bagaimanapun di negeri ini hanya terdapat sembilan kluster. Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) sedang mengambil pelbagai langkah pencegahan bagi memastikan keadaan terkawal,” katanya. – UTUSAN










