KANGAR: Industri teksi di Malaysia kini berada pada tahap membimbangkan apabila jumlah pemandu yang masih bertahan hanya sekitar 28,000 orang, berbanding lebih 120,000 pemandu sebelum kewujudan perkhidmatan e-hailing wujud kira-kira 10 tahun lalu.
Presiden Gabungan Teksi Malaysia (GTSM), Kamarudin Mohd. Hussain berkata, pengurangan hampir 77 peratus itu mencerminkan persaingan tidak seimbang antara e-hailing dan teksi, dengan jumlah pemandu teksi dijangka terus menyusut kepada 20,000 dalam tempoh lima tahun akan datang.
Katanya, sebahagian kecil pemandu teksi yang masih kekal adalah kerana mereka memiliki permit individu, sudah lama terbabit dalam industri dan mahu terus bebas bekerja tanpa ikatan korporat.
“Saya optimis keadaan itu bakal berubah apabila penjenamaan semula perkhidmatan teksi dilancarkan tidak lama lagi.
“GTSM bersama Kementerian Pengangkutan akan memperkenalkan model baharu teksi dan melatih pemandu bagi meningkatkan mutu perkhidmatan. Kita mahu tampil dengan pemandu berkualiti, kenderaan berkualiti serta harga bermaruah,” katanya berhubung kemerosotan mendadak jumlah pemandu teksi sejak kemunculan perkhidmatan e-hailing yang menawarkan tambang lebih murah dan fleksibel, sejak kira-kira 10 tahun lalu yang sekali gus menjejaskan kelangsungan industri teksi tradisional di negara ini.
Menurutnya, kerajaan juga perlu menetapkan harga lantai yang sama antara teksi dan e-hailing bagi memastikan persaingan adil. Beliau mencadangkan kadar RM1.50 per kilometer ditetapkan untuk kedua-dua perkhidmatan.
Katanya, selama ini teksi terikat dengan tambang kerajaan, manakala e-hailing menawarkan kadar jauh lebih murah dan keadaan itu menjejaskan pendapatan pemandu teksi.
“Sejak 2014, saya sudah tegaskan perlunya keserataan ini diwujudkan,” katanya.
Kamarudin menyambut baik bantuan subsidi petrol menerusi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) namun menggesa kerajaan mengkaji semula mekanisme sedia ada.
Katanya, kadar RM2.05 seliter masih belum mencukupi menampung kos operasi. Dahulu penggunaan NGV lebih murah, kini beban semakin bertambah.
“Kami berharap subsidi dapat diturunkan ke paras RM1.60 supaya lebih sesuai dengan keadaan semasa,” katanya. – UTUSAN










