GEORGE TOWN : Syarikat e-hailing terkemuka, InDrive menyasarkan untuk menambah jumlah pemandu aktif sebanyak 30 peratus di Pulau Pinang bagi tempoh sehingga penghujung tahun depan.
Pengurus Operasi Pemandu inDrive Malaysia, Azlan Anwar berkata, sasaran itu merupakan sebahagian daripada strategi pengembangan operasi syarikat tersebut pada ketika ini.
Menurut beliau, ketika ini juga, Pulau Pinang telah menyumbang sebanyak 30 peratus daripada pegangan pasaran InDrive di Malaysia sekali gus dianggap sebagai antara pasaran utama yang berpotensi selain di Lembah Klang dan Johor Bahru.
“Kami (InDrive) komited untuk menyediakan perkhidmatan e-hailing yang selamat, mampu milik dan berasaskan komuniti selain memberi peluang untuk memperoleh pendapatan yang adil kepada pemandu serta membantu penumpang untuk mengurus kos perjalanan mereka.
“Justeru, sebagai sebahagian daripada pelan hala tuju 2025-2026, kami akan berusaha memperkukuh ciri keselamatan dan teknologi termasuk proses pengesahan pemandu, pemantauan perjalanan masa nyata serta penambahbaikan sokongan dalam aplikasi bagi meningkatkan pengalaman pengguna,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika menghadiri sesi perkongsian santai berkaitan hala tuju serta operasi syarikat itu di sebuah restoran di Air Itam di sini, hari ini. Hadir sama Pengurus Komunikasi InDrive Asia Tenggara, Shaerine Irwina Kaur.
Mengulas mengenai keputusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk membenarkan InDrive terus beroperasi termasuk selepas melalui tempoh pemantauan selama tiga bulan sebelum ini, kata Azlan, mereka menyambut baik keputusan berkenaan dan bersedia untuk terus menambah baik mutu perkhidmatan syarikat.
“Untuk pengetahuan, InDrive kini berada pada fasa akhir (penambahbaikan operasi serta pengurusan syarikat) dan telah memperkemas proses pengesahan pemandu bagi mematuhi peraturan yang ditetapkan,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Shaerine memberitahu, InDrive hampir mencapai sasaran 40,000 pemandu aktif menjelang akhir tahun ini, dengan lebih 2.5 juta muat turun aplikasi direkodkan di seluruh Malaysia sejak 2022.
Beliau berkata model harga rakan-ke-rakan (peer-to-peer) yang digunakan juga membolehkan pemandu serta penumpang berunding tambang secara adil, memastikan perjalanan kekal mampu milik dan pendapatan pemandu mencerminkan masa serta usaha mereka.
Selain Malaysia, InDrive yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu kini telah beroperasi di 888 bandar di 48 negara termasuk di Malaysia.-UTUSAN










