PETALING JAYA: Individu-individu yang terlibat dalam kes rogol pelajar perempuan Tingkatan Tiga sebuah sekolah menengah di Alor Gajah, Melaka akan didakwa mengikut Seksyen 375B dan 377B Kanun Keseksaan [Akta 574].
Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan berkata, semua individu itu turut akan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792].
Katanya, pertuduhan akan dilakukan di Mahkamah Majistret Melaka, hari ini, yang mempunyai bidang kuasa setempat (local jurisdiction).
“Keputusan pendakwaan berkenaan diputuskan selepas meneliti kertas siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah, Melaka telah dirogol.
“Hasil penelitian menyeluruh terhadap kertas siasatan mendapati terdapat asas yang mencukupi untuk pertuduhan dikenakan terhadap individu-individu terlibat.
“Jabatan ini kekal komited untuk memastikan setiap kesalahan jenayah, khususnya yang membabitkan mangsa kanak-kanak dan jenayah seksual, diambil tindakan sewajarnya dan ditangani dengan tegas berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya hari ini.
Pada 11 Oktober lalu, media melaporkan empat suspek berusia 17 tahun direman enam hari sehingga esok bagi membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan.
Kes melibatkan mangsa, pelajar perempuan Tingkatan Tiga sekolah sama dan kejadian pada jam 2.50 petang 2 Oktober lalu turut dirakam serta dilihat dua lagi suspek berusia 17 tahun menggunakan telefon bimbit.
Kejadian bagaimanapun hanya terbongkar petang 10 Oktober lalu selepas ibu mangsa menerima maklumat mengenai penyebaran video tersebut dalam kalangan suspek daripada guru sekolah dan segera membuat laporan polis.-UTUSAN