PADANG BESAR: Kehadiran spesies asing invasif (IAS) seperti ikan peacock bass dan bongkok di Tasik Timah Tasoh di sini, memberi ancaman serius terhadap ekosistem perikanan serta memberi kesan kepada hasil tangkapan nelayan darat di tasik berkeluasan 1,300 hektar itu.
Tasik Timah Tasoh menjadi habitat kepada pelbagai jenis spesies ikan asli seperti lampam sungai, temperas, terbul, ketutu, patung, belida serta udang galah dan ia menjadi sumber rezeki nelayan darat.
Timbalan Pengerusi Persatuan Nelayan Darat Perlis, Abd. Azhar Abd. Aziz, 37, berkata, tasik berkenaan menjadi nadi penting buat golongan nelayan darat di negeri ini dalam meraih sumber pendapatan harian sejak bertahun lalu.
Katanya, tindakan pihak tidak bertanggungjawab sengaja membuang IAS ke dalam tasik tersebut menyebabkan berlakunya pembiakan yang cukup ketara.
“Tasik Timah Tasoh ini besar dan mempunyai banyak lokasi tersembunyi untuk melepaskan ikan asing, jadi sukar untuk kita mengawasinya.
“Disebabkan permasalahan ini, pendapatan nelayan terjejas dan sebagai contoh, sebelum ini kami boleh dapat RM100 sehari, tapi sekarang nak dapat RM50 ke RM60 pun teruk,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Abd. Azhar, spesies tempatan seperti ikan toman dari Pahang pada masa ini turut menjadi ancaman utama di tasik berkenaan berikutan kemampuannya membiak yang boleh mengatasi IAS lain.
“Kalau ikan peacock bass contohnya, ia hanya makan anak-anak ikan sahaja, tapi toman akan makan ikan-ikan besar yang dalam masa sama turut menjejaskan hasil tangkapan nelayan darat. Ancaman ikan-ikan asing ini jika ia masih berterusan menyebabkan hasil nelayan darat di tasik ini akan terjejas teruk,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perikanan negeri, Mohammed Roshaizat Mustaffa berkata, kewujudan IAS sememangnya menjadi ancaman berikutan kebanyakan daripadanya adalah pemangsa yang memakan telur, larva dan ikan kecil secara tidak langsung menyebabkan penurunan populasi ikan asli secara drastik.
“Situasi itu mendorong kepada gangguan terhadap rantaian makanan semula jadi dan menyebabkan kepupusan spesies lain. IAS mempunyai gaya pemakanan lebih agresif dan dominan yang akan mengganggu habitat ikan asli di tasik itu,” katanya.
Mohammed Roshaizat berkata, Jabatan Perikanan sentiasa memberikan penekanan serius dalam pengurusan pemuliharaan sumber perikanan darat.
“Antara langkah dijalankan melaksanakan program pelepasan benih ikan ke perairan umum. Tahun lalu, sebanyak 315,000 benih ikan telah dilepaskan,” katanya. – UTUSAN










