MELAKA: Hukuman rotan masih berjalan seperti biasa di samping tindakan disiplin terus dilaksanakan oleh guru-guru bimbingan dan kaunseling.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, hukuman rotan masih wujud dan tidak pernah dihentikan di samping pendekatan pemulihan terus berjalan seperti biasa.
“Rotan masih ada, tidak pernah dihentikan, guru-guru bimbingan terus melaksanakan pendekatan pemulihan di sekolah-sekolah.
“Selain guru, peranan ibu bapa juga amat penting terutama dalam mengawal pengaruh media sosial terhadap anak-anak,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan khas di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka, Bukit Beruang di sini semalam.
Rahmad berkata, pengaruh media sosial yang berlebihan antara faktor utama yang boleh mendorong remaja kepada tingkah laku negatif, justeru ibu bapa perlu memantau serta menghadkan pendedahan anak-anak kepada kandungan yang tidak sesuai.
Katanya, pendidikan moral dan sahsiah pelajar merupakan tanggungjawab bersama antara sekolah, ibu bapa dan masyarakat bagi memastikan kesejahteraan generasi muda terus terpelihara.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihak kerajaan negeri mengambil langkah susulan dalam membina semula sahsiah dan disiplin pelajar-pelajar yang terlibat dalam insiden baru-baru ini, termasuk menerusi sesi bimbingan khas dan kelas motivasi di luar waktu persekolahan.
Katanya, meskipun tindakan awal telah diambil oleh pihak berkuasa, usaha berterusan bagi memastikan pelajar terlibat kembali ke landasan pendidikan dan moral yang betul akan dilaksanakan segera dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
“Isu ini sudah melalui proses tindakan oleh polis, sekarang tumpuan kami adalah memastikan pelajar-pelajar terbabit mendapat bimbingan tambahan, kelas motivasi serta pendidikan kesedaran tentang kesalahan jenayah dan sahsiah.
“Program ini akan dijalankan di luar waktu persekolahan sebagai sesi khas bagi membantu pelajar membina semula jati diri dan mencegah kejadian seumpama ini daripada berulang,” katanya.










